Monday, 21 April 2014

Hari jadi bertukar pesta dadah

Hari jadi bertukar pesta dadah
15 pelajar sekolah antara 60 yang disahkan positif dadah.


GEORGETOWN - Parti hari jadi bertukar menjadi pesta dadah dan arak melalui pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Lebih menyedihkan 88 remaja yang terbabit berusia antara 16 hingga 35 tahun.

Mereka ditahan ketika sedang asyik berpesta di sebuah banglo di Jalan Masjid Negeri di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2.45 pagi itu, 60 yang ditahan disahkan positif dadah termasuk 15 daripadanya pelajar sekolah.

Operasi yang dilakukan sepasukan polis dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) mendapati kumpulan remaja berkenaan bukan sahaja menyalahgunakan dadah malah tanpa segan silu meneguk minuman keras dalam pesta itu.

Difahamkan, banglo berkenaan disewa seorang lelaki berusia 27 tahun untuk mengadakan parti hari jadi namun ia bertukar menjadi pesta dadah dan arak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris berkata, ketika serbuan dilakukan kumpulan remaja berkenaan sedang leka dengan muzik namun ada beberapa remaja yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, usaha mereka sia-sia kerana banglo berkenaan terlebih dahulu dikepung polis dan kesemuanya berjaya diberkas.

Ismail berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki dan 38 perempuan. Mereka dibawa ke IPDTL untuk saringan air kencing dan pemeriksaan mendapati 60 positif dadah jenis syabu dan ganja," katanya pada sidang mediaan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dalam premis tidak menemui sebarang dadah tetapi polis hanya menjumpai plastik dan paket kosong dipercayai bekas mengisi dadah.

"Kita memandang serius isu penyalahgunaan dadah ini terutama melibatkan pelajar sekolah.

"Saya memberi amaran kepada penganjur pesta sama ada di tempat awam atau persendirian. Polis akan sentiasa memantau kegiatan ini dan jika didapati ada aktiviti yang menyalahi undang-undang, kita akan bertindak," katanya. 

Ismail berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan sehingga tiga tahun.

"Mereka akan direman untuk membantu siasatan," katanya. -- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment