Mendiang Teoh Beng Hock
GEORGE TOWN: Sejak empat tahun yang lepas, pada setiap 20 April, keluarga mendiang Teoh Beng Hock tidak akan pernah terlepas dari menyambut hari kelahiran bekas Setiausaha Politik DAP itu.
Selalunya, mereka sekeluarga akan membawa belon dan kek selain berdoa di pusara Beng Hock, namun berbeza untuk hari ini.
Hari ini keluarga Beng Hock membuat keputusan untuk menghadiri upacara pengkebumian Karpal Singh dan bukan seperti kebiasaan iaitu melawat Beng Hock yang bersemadi di Nirvana Memorial Park, Semenyih.
“Abang (Beng Hock) pasti mahu kami membuat perkara ini, memang selama ini kami sekeluarga sangat berterima kasih kepada mendiang Karpal dan keluarganya kerana selalu meluangkan masa menjaga kami” kata Lee Lan yang merupakan adik bongsu Beng Hock.
Sebelum ini, Karpal dan anaknya Gobind Singh Deo selalu membantu dalam membela kematian Beng Hock.
“Karpal dan Gobind telah bersama kami mengharungi detik-detik yang sukar itu, dan mereka melakukannya tanpa mengambil apa-apa bayaran.
“Karpal selalu memberi kata-kata semangat kepada keluarga saya, katanya - jangan putus harapan, teruskan masih ada jalan” kata Lee Lan sambil menahan tangis.
Pada 16 Julai 2009, Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas di soal siasat semalaman oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan tersebut.
Pada Januari 2011, mahkamah koroner telah memutuskan bahawa kematian Beng Hock bukan kerana membunuh diri dan ia tidak melibatkan pihak ketiga.
Pada bulan Disember, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu.
Walaubagaimanapun, keluarga dan peguamnya berkeras bahawa Beng Hock telah dibunuh.
Mereka meminta Mahkamah Rayuan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu dan mahkamah dijadualkan mendengar rayuan ini pada 12 Mei.
“Karpal seorang insan yang tegas dan baik hati. Bukan hanya kami, malah beliau telah banyak membantu ramai orang. Kita telah kehilangan satu permata yang sangat bernilai,” tambah Lee Lan lagi yang turut memberitahu bahawa dia ada bertemu dengan mendiang Karpal sehari sebelum kemalangan ngeri yang meragut nyawanya itu berlaku.
Karpal terbunuh dalam satu nahas jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gua Tempurung awal pagi Khamis. Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantunya, Michael Cornolius
Abang kepada Beng Hock yang berada di sebelah Lee Lan ketika itu, turut mengangguk tanda setuju dengan kenyataan adiknya.
“Ya, beliau umpama seorang bapa kepada kami. Saya pasti beliau kini di syurga bersama adik (Beng Hock)” katanya sambil tersenyum.
Sekiranya masih hidup, Beng Hock akan berusia 35 pada tahun ini.
Astro Awani
Berita mula diterbitkan pada:
April 20, 2014 21:10 MYT
No comments:
Post a Comment