Monday 21 April 2014

Maut kemalangan ketika berkonvoi ke Ayer Keroh

Maut kemalangan ketika berkonvoi ke Ayer Keroh
Lokasi kemalangan yang meragut nyawa Muhamad Qusairi, semalam.


SEREMBAN - Hajat sekumpulan penunggang motosikal hendak berkonvoi ke Melaka tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 256 Lebuhraya Utara Selatan (NSE) arah Selatan, berhampiran susur masuk Senawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Qusairi Saadon, 26, berasal dari Gombak, Selangor sedang menunggang motosikal jenis KTM Duke 200 bersama peserta konvoi yang lain.

Jurucakap polis berkata, semasa insiden berlaku, mangsa dan penunggang lain sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menghadiri sebuah program sukan bermotor di Litar Melaka International Motorsport Circuit (MIMC), Ayer Keroh.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati, mangsa yang sedang menggunakan laluan kiri lebuh raya dipercayai terbabas sendirian dan melanggar pembahagi jalan, selepas motosikal dinaiki hilang kawalan.

“Mangsa yang cedera serius di kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya yang memberitahu pihak polis dimaklumkan insiden terbabit kira-kira 10.50 pagi.

Menurutnya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes sedang dalam siasatan.
-- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment