KUALA LUMPUR: Di kala semua manusia menyambut hari-hari istimewa seperti hari kelahiran dan hari ulang tahun bersama orang tercinta, mereka yang bergelar pramugara dan pramugari hanya mampu bermimpi tentang perkara itu.
Ini kerana tugas yang memerlukan mereka berada jauh dari orang tercinta, walaupun di hari-hari istimewa.
Namun, kepahitan untuk menyambut hari-hari istimewa tanpa kehadiran orang tercinta, kurang dirasai apabila ia disambut dengan rakan sekerja.
Ketua pramugari Malaysia Airlines (MAS), Farisha Mohamed Shariff, semasa mengenang rakan-rakannya yang hilang bersama pesawat MH370 pada 8 Mac lepas berkata, memang lumrah untuk menyambut hari-hari istimewa bersama 'keluarga' sekerjanya.
"Apabila kami berada jauh dari keluarga semasa hari lahir kami, atau pada ulang tahun kami, mereka (rakan sekerja) sentiasa bersedia untuk menyambutnya dengan kami kerana kami tidak menyambutnya dengan keluarga kita.
"Saya memahami apa yang keluarga MH370 sedang lalui ketika ini," katanya sambil mengeluarkan air mata sedih.
Farisha, semasa mengenangi rakan-rakan kru kabin MH370 yang hilang berkata, mereka selalu mengambil berat tentang satu sama lain.
"Contohnya pada perjumpaan terakhir kami, ketua pramugara MH370 Andrew Nari mengurut bahu saya kerana saya sakit dan beliau terpaksa menggantikan saya," katanya di dalam satu video yang dimuatnaikkan di laman Youtube MAS.
Farisha turut berkata sejak kehilangan pesawat MH370, orang ramai telah memberikan sokongan moral dan sebagainya untuk para pekerja MAS.
Sementara itu, Kapten MAS Edward Lewis berkata tragedi itu telah memberi kesan kepadanya.
"Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan kami berasa sedih bahawa kami telah kehilangan rakan-rakan kami," katanya.
Namun, beliau berkata tugas harus dilakukan tidak kira apa.
"Kami harus profesional dan tidak harus terganggu. Kami perlu memberi fokus kera tugas kami memerlukan disiplin dan dedikasi. Saya bangga dengan juruterbang yang telah menunjukkan keazaman yang besar untuk menjalankan dengan kerja mereka," katanya.
Turut bersetuju dengan Lewis adalah Jurutera dan Pengurus Penyelenggaraan, Noor Azhar Abdul Halim.
"Cabaran yang kami hadapi sekarang adalah amat sukar tetapi tugas harus diutamakan kerana ramai orang bergantung kepada kami," katanya.
Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.
Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.
Selepas satu analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir MH370 ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan lautan Hindi".
-- Astro Awani
No comments:
Post a Comment