Monday 21 April 2014

Taufan Jack menghampiri kawasan pencarian


Kenderaan dalam air (AUV) Bluefin-21 yang digunkan dalam misi mencari pesawat MH370. -Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca terutama di utara kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi merosot pada Isnin ekoran Taufan Tropika Jack terus menghala ke selatan.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang memantau operasi pencarian berkata ramalan cuaca menunjukkan hujan dan sekali sekala ribut petir sedang bergerak ke utara beserta angin timur tenggara.

Namun usaha pencarian diteruskan yang memasuki hari ke-45 dengan disertai 10 pesawat tentera dan 11 buah kapal, demikian menurut JACC dalam satu kenyataan.

"Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah merancang pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 kilometer persegi yang titik tengahnya terletak kira-kira 1,741 kilometer barat laut Perth," katanya.

Sementara itu Bluefin-21, kenderaan dalam air (AUV) telah menamatkan misi kelapan di kawasan pencariannya memulakan misi kesembilannya pagi tadi.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata kenderaan itu telah mencari kira-kira dua pertiga daripada kawasan pencarian yang telah diperkecilkan sebelum ini dan tiada sebarang penemuan berkaitan ditemui.


Kawasan pencarian untuk pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi pada 21 April, 2014.

Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.

Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment