Friday, 11 April 2014

Penduduk seronok jumpa buaya

Penduduk seronok jumpa buaya
Buaya yang ditemui di kawasan lumpur berhampiran Kampung Lubuk Jaya dan Kampung Nyiur, Bukit Belimbing di sini.


TANJONG KARANG - Tak ubah seperti pesta! Begitulah gelagat orang kampung yang berpusu-pusu datang untuk melihat buaya yang berjemur di kawasan lumpur berhampiran Kampung Lubuk Jaya dan Kampung Nyiur, Bukit Belimbing di sini.

Meskipun saiz buaya air tawar itu yang cukup besar jika dibandingkan dengan penemuan bangkai jenis yang sama pada 25 Julai tahun lalu, namun penduduk masih tidak berganjak untuk terus melihat fenomena yang jarang sekali dapat dilihat sepanjang hidup mereka.

Ketua Kampung Bukit Belimbing, Samsudin Idris berkata, penduduk kecoh apabila menerima panggilan kaki pancing yang terserempak dengan buaya itu dan terus mengerumuni kawasan lumpur yang dimaksudkan.

“Bukan selalu boleh nampak buaya yang saiz lebih besar berbanding yang jumpa tahun lepas...Jadi mereka pun ramai-ramai datang tengok kira-kira jam 4 petang semalam bersama ahli keluarga.

“Boleh dianggarkan lebih 50 penduduk datang melihat buaya yang statik..tak gerak-gerak dengan mulut ternganga. Mungkin buaya itu tengah berjemur sebab waktu itu cuaca cerah,” katanya.

Menolak buaya itu mengganas dan boleh membahayakan, Samsudin menjelaskan, penduduk masing-masing percaya buaya itu tidak akan mengganggu nelayan sungai yang ada di kampung itu.

“Bukan sekali tapi penduduk pernah terserempak dengan buaya jenis itu tapi tak pernah nak ganggu atau mengganas ketika nelayan nak cari makan di sepanjang sungai yang kaya dengan hasil udang.

“Penduduk tak kira usia yang tengok buaya itu tak menunjukkan riak takut atau cemas..masing-masing macam seronok.

“Mungkin ini salah satu keunikan yang ada di kampung ini selain kelip-kelip,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, penduduk turut digemparkan penemuan bangkai buaya oleh dua sahabat yang mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing pada Julai tahun lalu.

Penemuan buaya dianggarkan berukuran enam meter itu kejadian pertama kali berlaku di kampung itu sekali gus menyebabkan kawasan jeti menjadi tumpuan.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment