Friday 11 April 2014

Dua lelaki ditahan, barangan RM50,000 ditemui

NIBONG TEBAL - Dua anggota 'Geng Raja' disyaki terlibat beberapa kejadian samun, ragut dan pecah rumah sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Tengah (SPT) ditahan dalam serbuan di Taman Sejahtera, Bukit Mertajam dekat sini.

Dalam serbuan kira-kira 3 pagi Selasa lepas, polis turut menemui enam botol kaca berisi minyak tanah yang menyerupai molotov koktail dalam rumah berkenaan.

"Polis percaya ketika ditahan dua lelaki berusia 26 dan 34 tahun itu baru merompak sebuah rumah di Simpang Ampat, di sini," kata Ketua Polis Daerah SPS Superintendan Shafien Mamat dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan, antaranya telefon bimbit, peralatan elektrik, komputer riba dan barangan kemas bernilai RM50,000 dipercayai hasil samun kumpulan itu serta peralatan untuk menyamun iaitu pisau, kapak, kunci pendua dan topeng muka.

Shafien berkata dua lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu mempunyai rekod jenayah dan seorang daripadanya baru dibebaskan daripada Penjara Tapah 18 hari lepas berikutan kesalahan mencuri.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah dan siasatan awal polis mendapati mereka terlibat dalam
sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah, samun dan ragut di Nibong Tebal. - Bernama

No comments:

Post a Comment