Friday 11 April 2014

MH370: Perjalanan masih jauh, kata Hishammuddin

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein


KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau berterima kasih kepada pihak berkuasa Australia yang sedang berusaha untuk mengenal pasti isyarat yang dikesan di selatan Lautan Hindi ketika gerakan mencari pesawat Malaysia yang hilang memasuki hari ke-34 hari ini.

Beliau berkata hanya selepas disahkan bahawa isyarat berkenaan adalah dari pesawat Malaysia Airlines MH370, operasi akan beralih ke fasa seterusnya.

Sambil menjelaskan bahawa "perjalanannya masih jauh", beliau berkata: "Kami dimaklumkan dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini daripada JACC (Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia), tapi ia memerlukan beberapa hari untuk meneliti isyarat daripada alat pengesan ping."

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan pihak berkuasa yang terlibat dalam usaha mencari pesawat Boeing 777-200 MAS yang hilang, di sini hari ini.

Menurut beliau, untuk sementara waktu ini, tiga jawatankuasa peringkat kementerian berkenaan perlu menunaikan tugas masing-masing. Jawatankuasa itu bermesyuarat di sini sejak pagi tadi.

Pada Sabtu, untuk memperkemas dan memantapkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan, kerajaan mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa peringkat kementerian iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pergerakan Aset.

Hishammuddin berkata beliau tetap menaruh harapan pesawat MH370 akan segera dijumpai.
"Inilah janji saya kepada keluarga terbabit," katanya sambil menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia tidak menyembunyikan sebarang perkara.

Menurut beliau kerjasama rapat dan persefahaman mendalam antara Malaysia dan JACC akan memastikan maklumat yang disampaikan berhubung usaha mencari pesawat berkenaan sentiasa konsisten.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabngsa KL pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat MH370 terbang di sepanjang kawasan yang dikenali sebagai koridor pencarian selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Laut China Selatan, di barat Perth.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Bernama

No comments:

Post a Comment