Friday 11 April 2014

Polis buru 11 individu terlibat kes gaduh

KUALA TERENGGANU - Polis sedang memburu 11 individu yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Kampung Wakaf Tapai Marang, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K.Manoharan berkata sehingga kini lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan dan polis juga telah mengenal pasti beberapa suspek yang berasal dari Marang dan Kuala Terengganu.

"Kita telah berjaya menahan empat lelaki dan seorang remaja perempuan dan gerakan memburu kesemua suspek berusia 20-an hingga 30-an sedang giat dijalankan," katanya kepada Bernama.

Selasa lalu, dua lelaki cedera selepas dilibas dengan parang ketika dua kumpulan berkenaan sedang berbincang berhubung masaalah hutang dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam.

Sementara itu, Manoharan berkata polis sedang memburu seorang lelaki yang memecah masuk Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Perhutanan dan Pejabat Pertanian yang terletak di Wisma Negeri di sini awal pagi Isnin.

Kejadian itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM5,000 selepas wang tunai, barang kemas serta barang runcit milik kakitangan JPS yang terletak di tingkat lapan wisma berkenaan dilarikan penjenayah berkenaan.

Manoharan berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu dilakukan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an. - Bernama

No comments:

Post a Comment