Friday, 11 April 2014

Warga Myanmar didakwa cuba seludup diesel RM3.4 juta

Gambar hiasan


KUANTAN: Seorang kapten kapal warga Myanmar tidak mengaku bersalah atas tuduhan cuba menyeludup diesel bersubsidi bernilai RM3.4 juta pada Jumaat lalu.

Hla Tint, 48 tahun, yang berasal dari Yangon hanya menundukkan kepala sepanjang prosiding di Mahkamah Majistret di sini di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli. Pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membawa dalam kawalannya 1.31 juta liter diesel bersubsidi dalam kapal Silver 9 di Pelabuhan Kuantan pada awal pagi 4 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi. Tertuduh diwakili peguam Nor Syahid Abdul Majid.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan membabitkan kepentingan negara dan nilai yang tinggi. Tertuduh juga bukan warganegara Malaysia yang layak menerima subsidi diesel itu.

Nor Syahid bagaimanapun mendesak anak guamnya diberi jaminan keranabelum disabitkan kesalahan. Peguam itu juga berjanji anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana pasportnya masih ditahanoleh polis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua penjamin warga tempatan. Dia juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis setiap dua minggu dan pasportnya dirampas sehingga perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 April ini.

Astro Awani |  April 10, 2014

No comments:

Post a Comment