Friday, 11 April 2014

GST, Getah: PR rancang Himpunan Rakyat

Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat


SHAH ALAM - PR memberi amaran tegas akan mengadakan Himpunan Rakyat pada 1 Mei depan di Kuala Lumpur jika kerajaan BN enggan membela nasib petani susulan kejatuhan harga komoditi getah yang kian membimbangkan.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata amaran pertama sudahpun dilakukan dalam Himpunan Derita Rakyat di Baling pada 5 April lalu supaya pemimpin kerajaan tidak melupakan penderitaan golongan petani yang kinimemperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan sahaja.

"Tindakan perlu dibuat segera, dan langkah drastik perlu diambil kerana harga getah yang merudum jatuh dianggap menyeksa rakyat.

"Daripada RM2.80, turun pula ke paras RM 2.50 sehingga pernah mencecah RM 1.90 sekilogram, menjadikan pendapatan penoreh getah sekitar RM 500 sebulan," katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.

Mengulas lanjut, dakwanya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya akan memburukkan keadaan sedangkan segelintir pengilang getah pula mengaut keuntungan.

Dakwanya jika keadaan itu tidak dibendung, jumlah fakir miskin akan terus bertambah sekali gus melebarkan jurang antara golongan miskin tegar dan golongan elit.

"Membiarkan mereka terkial-kial dengan keadaan semasa meramaikan lagi golongan fakir miskin dan menjarakkan jurang yang lebih jauh antara golongan miskin tegar dengan golongan kaya raya di negara ini.

"Para peneroka juga perlu diberi bantuan khas agar hidup mereka terbela. Mereka bukan warga kelas kedua, mereka adalah rakyat yang berhak mendapat kemudahan dan keselesaan sama seperti warga negara yang lain," katanya lagi.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment