Friday 11 April 2014

'Tidak masuk akal, FAM mengarut'

Ahmad Said
Ahmad Said


“TIDAK masuk akal. Ini semua mengarut!” tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata demikian susulan laporan oleh media semalam yang menyatakan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang pertuduhan daripada pihak sekretariat FAM bagi membicarakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang didakwa terbabit dalam kes pergaduhan di terowong.

Sambil mempertikaikan kredibiliti FAM, beliau sekali lagi menegaskan, mereka yang terlibat perlu meletakkan jawatan sekiranya tidak sanggup menghadapi cabaran dan berlaku adil kepada semua pihak.

“Dalam Jawatankuasa FAM siapa yang (sepatutnya) buat pertuduhan? Kalau tak buat pertuduhan, macam mana pula? Siasat tetapi tiba-tiba kata tiada pertuduhan. Baru-baru ini kata sudah buat perbicaraan dan PBNJ dikenakan denda RM30,000.

“Tetapi sekarang kata tiada pertuduhan pula. Apa (yang mereka) cakap mengarut ni? Dulu kata tiada masalah keselamatan tetapi didenda atas sebab keselamatan. Sebab itu saya katakan, takkan T-Team sengaja nak tarik diri?

“Sedangkan pemain risaukan keselamatan mereka. Polis yang bawa kita (pegawai dan pemain) dan iring hingga ke Mersing. Malah pemain T-Team diminta untuk tukar baju. Kenapa sekarang tiba-tiba tiada pertuduhan pula kepada yang terlibat?,” katanya yang berang dengan perkembangan terbaru insiden terowong melibatkan pasukan T-Team dan JDT itu.

Sambil menegaskan bola sepak adalah milik rakyat, Ahmad berkata, FAM langsung tidak boleh ditegur dan bimbang jika ia berterusan, mutu bola sepak di Malaysia akan terus merudum.

“Macam mana mereka buat kerja? Sebab itu saya katakan ada ‘tangan ghaib’. Tidak masuk akal langsung kerana tiada pertuduhan. Ini semua mengarut.

“Dahulu Malaysia seiring dengan pasukan Korea dan Jepun. Sekarang ini Malaysia di tangga ke berapa? Kerana perkara macam inilah dan tidak boleh ditegur. Bila ditegur, digantung dan dipecat,” katanya.

Sinar Harian siaran 7 April lalu turut menyiarkan kenyataan Ahmad yang mempersoalkan dasar demokrasi yang diamalkan Persatuan bola Sepak Malaysia (FAM) apabila dilihat enggan menerima teguran demi kebaikan badan induk bola sepak negara itu.

Jelasnya, selaku persatuan yang menjadi milik seluruh rakyat di negara itu, FAM khususnya Jawatankuasa Tatatertib sewajarnya lebih terbuka untuk menerima pandangan termasuk kritikan jika wujud unsur ‘pilih bulu’ dalam sebarang keputusan yang dibuat.

Beliau turut mempersoalkan demokrasi yang diamalkan badan induk bola sepak negara itu sehinggakan pihak lain tidak boleh menegur setiap tindakan yang dibuat.

“Saya hendak beritahu (FAM) bahawa yang tanggung pasukan bola sepak negeri (T-Team atau Terengganu) adalah Kerajaan Negeri, jadi apabila kita (Kerajaan Negeri) yang keluarkan belanja kenapa tiada hak untuk mengeluarkan sebarang ketidakpuasan hati.

“Apakah demokrasi yang diamalkan FAM ?..sampai orang tidak boleh tegur..apakah FAM mampu memberi peruntukan yang mencukupi (untuk bola sepak negeri)..FAM hak milik Malaysia, hak milik orang ramai. Saya berhak menyuarakan pandangan memandangkan peruntukan itu disalur kerajaan negeri,” demikian reaksi Ahmad ketika diminta mengulas kenyataan balas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak yang menyifatkan beliau (Ahmad) sebagai keterlaluan, di samping tidak mempunyai hak untuk mendesak AJK itu (Jawatankuasa Tatatertib) meletak jawatan.

Gesaan yang dibuat Ahmad itu susulan keputusan insiden ‘Terowong Larkin’ yang disifatkan berat sebelah apabila hanya menjatuhkan hukuman RM30,000 kepada JDT kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan tanpa mengheret individu yang mencetuskan pergaduhan itu.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment