Friday, 11 April 2014

Polis miliki petunjuk positif berkas suspek tembak dua anggotanya


Fotofit suspek tembak polis di Pandan Indah. -- AstroAWANI


AMPANG JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan bahawa pihaknya mempunyai petunjuk positif dalam usaha mereka untuk memberkas suspek menembak dua anggota polis di Jalan Lembah Maju 1/16, Taman Lembah Maju, Pandan Indah di sini, hari ini.

"Kita sudah ada petunjuk dalam kes ini dan apa yang dapat saya katakan adalah ini adalah antara cabaran yang sering dihadapi oleh anggota polis," katanya ketika ditemui di Hospital Ampang selepas melawat Lans Koperal Lional Richard Jr.

Lional, 26, cedera ditembak dua das tembakan di bahagian perut oleh suspek manakala Konstabel Zul Fazli Atlahi ,28 cedera sedikit terkena tembakan dibawah perutnya.

Khalid turut memberi nasihat bahawa setiap anggota polis supaya lebih terus berhati-hati terutama ketika membuat rondaan di kawasan yang banyak mempunyai kadar jenayah yang tinggi.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar awal hari ini berkata ketika kejadian suspek dalam lingkungan 30an itu bersama rakannya dipercayai sedang mencari-cari mangsa untuk diragut.

"Berdasarkan kelakuan mereka yang sangat mencurigakan, kita percaya mereka ini cuba mencari mangsa untuk diragut dan kawasan tersebut juga merupakan satu kawasan yang sibuk dengan orang ramai lalu lalang di situ," kata Rahim dalam satu sidang media di Balai Polis Pandan Indah.

Polis juga menemui motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan mendapati ianya menggunakan nombor plat palsu dan gerakan memburu suspek telah dilakukan secara besar-besaran.

"Berdasarkan nombor chasis motorsikal tersebut, ianya telah dilaporkan hilang di Setapak pada tahun lalu,".

Kedua-dua mangsa kini dalam keadaan stabil dan pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari perut Lans Koperal Lional dilapor dilakukan pada petang tadi.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment