Monday 10 November 2014

SPRM beri 12 syor elak tragedi Lembah Bertam berulang


SPRM beri 12 syor elak tragedi Lembah Bertam berulang

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan kerajaan negeri Pahang mengkaji semula dasar pemberian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi tujuan menyekat penerokaan tanah kerajaan secara haram di Cameron Highlands.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, ia merupakan antara 12 syor termasuk mengelakkan pembinaan bangunan kekal di atas tanah LPS serta menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Tanah 1960/Enakmen Pahang No 13 (denda dan penalti lebih berat) untuk mengelakkan tragedi di Lembah Bertam berulang.

"Selain itu, kerajaan negeri perlu menentukan dasar yang jelas berhubung pembangunan tanah tinggi bagi memudahkan hala tuju penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di sana.

"Mereka juga perlu mewujudkan dasar kawalan kemasukan dan pengesanan pekerja asing, khusus di Cameron Highlands, supaya pembukaan kawasan pertanian secara haram dapat dibendung," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada Rabu, kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Lembah Bertam di Cameron Highlands mengakibatkan lima meninggal dunia dan lima lagi cedera.

Dalam pada itu, kata Mustafar, kerajaan negeri juga perlu mewujudkan keperluan kepada dua bidang kuasa berasingan antara Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa.

"Mereka juga boleh mewarta dan menanda halus sempadan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dengan jelas. Penandaan semula amat perlu bagi tujuan penyelenggaraan persempadanan HSK yang kritikal.

"Selain itu, mereka perlu menanda halus sempadan Rancangan Penempatan Semula (RPS) dengan jelas. Mengehadkan kawasan tanaman pindah kepada masyarakat Orang Asli dalam kawasan RPS sahaja atau mewujudkan zon bercucuk tanam khusus kepada mereka," jelasnya.

Mustafar turut mengesyorkan kerajaan negeri mewujudkan Task Force(pasukan petugas) bagi tujuan penguatkuasaan yang berkesan.

"Mereka juga perlu mensyaratkan penandaan sempadan secara kekal dan pemasangan papan tanda tanah LPS bagi memudahkan penguatkuasaan dan meningkatkan ketelusan.

"Kejadian itu boleh dielak dengan menilai semula sistem dan prosedur penguatkuasaan bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan memperkemaskan pelaksanaan penguatkuasaan Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara serta mengenakan syarat-syarat baru LPS jika perlu," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri harus melaksanakan tindakan pentadbiran yang bersesuaian bagi melicinkan pengurusan dan penguatkuasaan penerokaan haram seperti mengehadkan penggunaan jentera berat berantai.

Katanya, ia termasuk memantau kebanjiran pekerja asing ke Cameron Highlands dan meningkatkan operasi penguatkuasaan pada hujung minggu dan cuti umum. 

"Mereka boleh mewujudkan Sistem Pengesahan bagi menghindari dakwaan yang melibatkan anggota kerabat, ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dengan mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai hubungan dalam apa-apa urusan bagi menjaga nama baik pihak berkenaan.

"Selain itu, sistem aduan yang berfungsi sebagai satu mekanisme kepada mana-mana pihak menyalurkan aduan, laporan dan maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang, peraturan dan salah laku perlu diwujudkan.

Ujarnya, tindakan ke atas sesuatu aduan perlu dilakukan dengan cepat dan tegas.

Dalam pada itu, kata Mustafar, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah mengenal pasti 10 isu yang memerlukan tindakan segera semua pihak.

"Antaranya isu penerokaan tanah kerajaaan secara haram dan lebih usaha tanah LPS di Cameron Highlands dan tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.

"Dasar kerajaan negeri di bawah Rancangan Tempatan Cameron Highlands mengiktiraf Cameron Highlands sebagai special management area (Akta Pemuliharaan Tanah 1960), yang membenarkan aktiviti pertanian, agro dan ekotourism, tetapi tidak membataskan had keluasan tertentu untuk aktiviti dan kaedah pertanian.

"Selain itu, turut wujud kontraktor ‘kilat’ yang terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum bagi mengelakkan kerja-kerja teroka haram dikesan pihak berkuasa," jelasnya.

Jelasnya, SPRM turut menerima laporan dan maklumat berkaitan dakwaan wujudnya jenayah rasuah di sebalik isu penerokaan haram di Cameron Highlands.

Katanya, maklumat terbaru diterima pada 5 November lalu berkaitan kebanjiran pekerja asing.

Tegas Mustafar, SPRM pada tahun lepas juga mendakwa seorang peneroka haram yang cuba memberi sogokan RM20,000 kepada pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands.

- Sumber: Media Statement (disiarkan di Astro Awani)

No comments:

Post a Comment