Monday 10 November 2014

Isu doping: Dexamethasone daripada klinik pakar swasta



KHAIRY: Beliau menjalani rawatan 'stem cell' yang tidak dibuat ISN, tetapi dibuat di klinik swasta.

KUALA LUMPUR: Bahan terlarang 'Dexamethasone' yang diuji positif ke atas seorang pemain badminton kebangsaan bukan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Sebaliknya, jelas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bahan yang digunakan untuk memulihkan kecederaan pemain badminton tersohor itu diterima daripada sebuah klinik pakar swasta.

Jelas Khairy, ISN telah merujuk pemain berkenaan untuk mendapatkan rawatan lanjut di klinik berkenaan.

"Beliau menjalani rawatan 'stem cell' yang tidak dibuat ISN, tetapi dibuat di klinik swasta. Beliau diberi suntikan Dexamethasone di klinik swasta tersebut yang juga merupakan klinik swasta sukan."

"Dexamethasone adalah ubat dibenarkan di luar pertandingan. Ramai atlet yang menggunakannya di luar pertandingan untuk tujuan rawatan.

"Dalam tempoh 10 hari sepatutnya ia keluar daripada badan atlet tersebut, tetapi kita tidak tahu kenapa bahan itu masih tersangkut dalam badan dia," kata Khairy ketika ditemui pemberita di Karnival Genexter 2014 di Putrajaya.

Ketika ini, katanya, persediaan sedang dibuat sementara menunggu proses pendengaran daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Kami masih menunggu sesi pendengaran dengan BWF. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Kita hanya boleh membuat persediaan," ulas Khairy.

Walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan menamakan atlet terbabit, ikon sukan badminton dunia Datuk Lee Chong Wei disebut-sebut sebagai atlet yang dimaksudkan.

Beliau bakal berdepan hukuman gantung dua tahun oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) sekiranya gagal dalam rayuannya dengan BWF.

Jaguh badminton negara itu disahkan positif Dexamethasone dalam ujian sampel B yang dilakukan di Hospital Universiti Olso, Norway, Rabu lepas.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment