Tuesday 11 November 2014

Isteri Ahmad Sarbaini saman SPRM

KUALA LUMPUR - Isteri kepada Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa saman yang dikemukakannya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bagi menuntut keadilan ke atas kematian suaminya, tiga tahun lepas.

Masiah@Maziah Manap, seorang penyelia di Petronas Dagangan Berhad, Shah Alam berkata, beliau dan anak-anak inginkan penjelasan daripada SPRM mengapa Ahmad Sarbaini dipulangkan kepada mereka dalam 'keadaan kaku dan tidak bernyawa' setelah pergi ke pejabat SPRM pada 6 April 2011.

"Saya meneruskan tindakan saman terhadap SPRM untuk menuntut keadilan bagi pihak arwah Ahmad Sarbaini dan keluarga saya. SPRM juga perlu bertanggungjawab atas apa yang terjadi kepada arwah kerana beliau berada di tempat mereka ketika nyawanya diambil," katanya sambil menangis ketika prosiding itu.

Masiah, 53, memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes tuntutan saman RM8 juta yang difailkan bersama anaknya, Shahril Ahmad Sarbani, 30, terhadap SPRM dan lapan lain berhubung kematian Ahmad Sarbaini di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini, pada 6 April 2011.

Masiah dalam pernyataan saksi yang dikemukakan kepada mahkamah hari ini turut melahirkan rasa kecewa kerana hingga ke hari ini tiada seorang pun daripada pihak SPRM yang datang menemuinya atau keluarga untuk meminta maaf atas kejadian yang menimpa suaminya.

Menjawab soalan peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili ibu tunggal itu mengenai perasaannya apabila mendapat tahu suaminya meninggal dunia disebabkan terjatuh dari bangunan SPRM, Masiah berkata beliau sangat terkejut dan amat kecewa kerana tidak menyangka beliau orang terakhir mendapat tahu mengenai perkara itu.

"Pada hari kejadian, saya menerima panggilan daripada Pengarah SPRM, Mohamed Yusuff Akope bahawa suami saya 'rebah' ketika berada di SPRM dan saya hanya tahu suami jatuh bangunan melalui jiran dan kebetulan berita mengenainya turut dipaparkan di televisyen," katanya.

Masiah juga tidak bersetuju dengan cadangan Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom bahawa SPRM tidak mempunyai peluang untuk memberinya taklimat berhubung kejadian yang menimpa Ahmad Sarbaini pada hari kejadian.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata kematian suaminya itu memberi kesan trauma kepadanya dan juga anak-anak, terutama anak bongsunya, Syazana, yang ketika itu berusia enam tahun, yang turut demam apabila melihat keadaan arwah semasa pengecaman dibuat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada hari kejadian.

Masiah berkata akibat kejadian itu, beliau dan anak-anak terpaksa berdepan dengan ahli keluarga yang lain, kawan-kawan serta masyarakat yang mempunyai tanggapan bahawa arwah berkemungkinan mengambil rasuah atau membunuh diri.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Kamaludin Md Said akan bersambung jam 2.30 petang esok selepas hakim dijadual melawat tempat kejadian pada 11 pagi.

Pada 4 April lepas, Masiah dan anaknya, Shahril memfailkan saman dengan menamakan SPRM, kerajaan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengarah SPRM, Mohamed Yussuf Akope dan lima pegawai lain iaitu Mohamad Fauzi Hussin, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamed, L. Baskar, Mohd Rosly Mohd Saupi dan Kamal Awang Besar sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Masiah mendakwa kematian suaminya disebabkan dibunuh secara tidak sah oleh defendan-defendan sehingga menyebabkan simati mengalami kecederaan yang serius, seterusnya mengakibatkan kematiannya selain mendakwa defendan melakukan serangan mental dan serangan sentuh terhadap simati.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi untuk 'misfeasans pejabat awam', ganti rugi keterlaluan, ganti rugi teladan dan ganti rugi 'vindicatory' yang kesemuanya berjumlah RM8 juta.

Pada 26 Sept 2011, Mahkamah Koroner memutuskan tiada unsur jenayah atau penglibatan pihak ketiga dalam kematian Ahmad Sarbaini.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Jalan Cochrane di sini, 6 April 2011.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment