Tuesday 11 November 2014

Pengawal keselamatan terbunuh selepas terlepas tembakan

Polis berkata mangsa sedang mengeluarkan sebutir peluru yang tersangkut apabila pump gun itu meletup.

GEORGE TOWN: Seorang pengawal keselamatan maut apabila terkena tembakan semasa cuba mengeluarkan peluru daripada senjata api yang digunakannya di Ideal Avenue, Medan Relau 1 di sini, malam tadi.

M. Pusbanathan, 52, mati di tempat kejadian apabila peluru daripada 'pump gun' yang sedang dikosongkan itu mengenai dada kanannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP P.R Gunarajan berkata lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank di Sungai Dua, di sini pulang ke pejabat syarikat tempatnya bekerja di tingkat tiga bangunan itu untuk memulangkan senjata api yang digunakannya.

"Dalam kejadian pukul 8.45 malam, mangsa sedang mengeluarkan sebutir peluru yang tersangkut apabila pump gun itu meletup.

"Ketika itu hanya seorang rakan setugas mangsa berada di situ dan dia hanya menyedari kejadian apabila terdengar bunyi tembakan dan melihat mangsa terduduk di kerusi berlumuran darah," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Gunarajan berkata menurut prosedur operasi standard syarikat itu, pengawal keselamatan perlu mengosongkan peluru daripada senjata mereka di tempat bertugas namun mangsa hanya dapat mengeluarkan empat daripada lima butir peluru apabila satu lagi peluru tersangkut.

"Mangsa yang telah bekerja lebih lima tahun sebagai pengawal keselamatan dikatakan tamat sif pada pukul 6.30 petang dan pulang menaiki van syarikat. Dia dikatakan ingin mengeluarkan baki peluru itu di pejabat syarikat itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang merupakan rakan sekerja mangsa untuk membantu siasatan dan senjata api itu dirampas.

Mayat lelaki berasal dari Kulim, Kedah itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, katanya.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment