Tuesday 11 November 2014

Rotan bukan jalan terbaik

Idris Jusoh

Cadangan untuk mengembalikan semula kuasa merotan pelajar kepada sekolah akan dikaji secara terperinci oleh semua pihak yang terlibat.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mencari satu jalan penyelesaian yang terbaik dengan mengadakan perbincangan bersama ibu bapa dan guru bagi memastikan masalah sosial di kalangan pelajar berkurangan.

"Apa yang penting bukanlah mengenakan hukuman rotan kepada mereka tetapi menerapkan budaya kasih sayang yang perlu diamalkan dalam sesebuah sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2014, di sini hari ini.

Katanya, beliau percaya dengan menerapkan budaya kasih sayang antara guru dan pelajar serta sesama pelajar, masalah sosial di kalangan mereka akan berkurangan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia melalui presidennya, Hashim Adnan semalam dilaporkan menggesa supaya kuasa merotan dikembalikan semula kepada pihak sekolah bagi mengawal kes salah laku di kalangan pelajar.

Dalam perkembangan lain, Idris memberi jaminan bahawa kementerian akan memastikan semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan ketinggalan menduduki baki kertas peperiksaan itu selepas kejadian banjir di Cameron Highlands baru-baru ini.

"KPM melalui Lembaga Peperiksaan Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat calon yang masih terjejas akibat banjir dengan menyediakan ruang khas untuk dijadikan pusat peperiksaan sementara," katanya.

Sementara itu, mengulas isu penahanan beberapa aktivis mahasiswa di Sabah semalam, Idris berkata perkara itu tertakluk di bawah bidang kuasa polis.

"Jika pelajar terbabit ingin menganjurkan sebarang aktiviti di dalam kampus, mereka perlu memohon kebenaran daripada pengurusan universiti terlebih dahulu dan bukan terus buat program secara provokatif, ini bukan budaya terpelajar," katanya.

Semalam, aktivis siswa yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol ditahan polis bersama beberapa mahasiswa lain selepas mengadakan ceramah umum di Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada tengah hari.

Beliau yang kemudian dibebaskan ditahan semula oleh pihak polis kira-kira pukul 10 malam ketika cuba memasuki kawasan Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment