Tuesday 11 November 2014

Mahkamah tolak bayar ganti rugi pada Johan

Johan

MAHKAMAH Tinggi menolak permohonan seorang pengarah drama dan filem serta syarikatnya untuk menggantung perintah membayar ganti rugi RM170,100 kepada Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz atau 'Johan Raja Lawak' dan isterinya.

Pembayaran itu berkaitan kes saman yang difailkan pelawak dan pelakon berkenaan bagi kecederaan yang dialaminya empat tahun lepas.

Hakim Su Geok Yiam membuat keputusan itu dalam kamar. Hadir pada prosiding itu ialah peguam Suhaimi Saad yang mewakili Johan, dan peguam Baljit Singh bagi Mohd Javed Mohd Nizar serta Juara Filem Production Sdn Bhd.

Suhaimi, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah menolak permohonan itu dengan kos RM5,000 serta memerintahkan Mohd Javed dan syarikatnya membayar ganti rugi dalam tempoh 31 hari bermula hari ini.

Pada 7 Julai lepas, Su memerintahkan Mohd Javed dan syarikat penerbitannya membayar ganti rugi RM100,000 serta kos perubatan RM100 kepada Johan selain faedah lima peratus kepada Johan bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi RM20,000 akibat trauma kepada isteri Johan iaitu Rozlinawaty Ismail serta faedah lima peratus bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mohd Javed dan Juara Filem Production Sdn Bhd juga diperintah membayar kos guaman RM50,000 kepada pasangan itu.

Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed mengasari serta membaling gelas kaca sehingga menyebabkan dahi kiri pelawak itu cedera ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada 11 Mei 2010.

Pernyataan tuntutan Johan mendakwa Mohd Javed turut bertindak menterbalikkan meja di depan beliau dan isterinya dan pelawak berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan, yang didakwa akibat ditumbuk seorang kru penggambaran dikenali sebagai 'Halim'.

Johan, yang juga seorang pengacara, mendakwa Mohd Javed dan Halim terus memukul serta menyepaknya, dan apabila perbuatan mereka dihalang Ozlynn, wanita itu turut dipukul. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment