Tuesday 11 November 2014

Isu transgender: Kerajaan Negeri Sembilan fail rayuan di Mahkamah Persekutuan

Isu transgender yang berjaya mengetepikan hukuman Mahkamah Syariah Negeri Sembilan menjadi perdebatan umum. -Foto fail

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin berhubung keputusan Mahkamah Rayuan bahawa undang-undang jenayah syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki berpakaian wanita di tempat awam melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan namun berpendapat kes ini perlu didengar semula oleh Mahkamah Persekutuan kerana Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) itu perlu dilihat dari segi aspek agama, bukannya aspek-aspek yang lain.

"Jadi, kita akan tekankan di situ bahawa ini adalah hukum yang terbitnya dari sumber agama. Jadi, saya akan failkan secepat mungkin dan saya akan membawa juga Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebagai pencelah.

"Saya harap semua Majlis Agama Islam di negeri-negeri yang lain akan bersama-sama untuk mencelah dalam rayuan kita," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya kes ini amat penting dan jika tidak ditangani dengan baik ia akan membuka suatu keadaan yang mana akan terjadi sesuatu yang amat tidak baik kepada kesucian agama Islam di negara ini.

"Kita akan dapatkan peguam yang bagus untuk memfailkan rayuan," kata Mohamad.

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah dan tidak sah di sisi Perlembagaan.

Panel tiga hakim mahkamah itu yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membuat ketetapan tersebut selepasmembenarkan rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment