Suami Norazita jadikan anak-anak kekuatan untuk teruskan hidup
KUALA LUMPUR: "Tidak dapat dinafikan fikiran saya sering bercelaru untuk menyambut Hari Raya ini kerana buat pertama kalinya saya terpaksa mengurus semua persiapan untuk anak-anak," kata Irwan Kamaruddin.
Irwan, 33, suami kepada pegawai AmBank Norazita Abu Talib, 37, yang maut akibat ditembak di bank cawangan di Subang Jaya itu pada 23 Okt tahun lepas.
Katanya, kehidupan beliau agak kelam-kabut kerana terpaksa menguruskan keperluan harian anaknya seperti membasuh pakaian sekolah, kasut dan urusan persekolahan.
"Dulu ketika arwah masih ada dialah yang uruskan segala hal berkaitan anak-anak termasuklah persiapan raya untuk mereka, kini dia sudah tiada, terpaksalah saya yang uruskan semua hal," katanya.
Kini, katanya kehidupan tidak lagi seceria dahulu namun kedua orang anaknya yang menjadi dorongan untuk beliau meneruskan aktiviti harian kerana mahukan mereka berjaya seperti yang diharapkan oleh arwah isterinya.
"Merekalah yang menjadi kekuatan saya walaupun saya sedih melihat keadaan mereka yang baru sahaja kehilangan ibu, lebih-lebih lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri ini," katanya ketika ditemui Bernama.
Katanya persiapan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini tidak semeriah dahulu ketika arwah isterinya masih ada.
"Sambutan Aidilfitri kali ini lebih sunyi dan tiada keceriaan tanpa isteri saya di sisi, anak saya seperti tidak ada mood untuk menyambutnya.
"Mereka tidak tanya kepada saya soal untuk memiliki baju raya yang baharu, anak saya Nurnisa cakap pakai apa sahaja yang ada," katanya.
Anak sulungnya Nurnisa Nabila Irwan berusia 13 tahun, tidak banyak bercakap berbanding adiknya Muhammad Hazimi Irwan, 9, yang banyak bertanyakan mengenai arwah ibunya.
"Nurnisa dia sudah besar dan banyak diam, mungkin dia faham dengan situasi yang berlaku selepas ketiadaan ibu mereka manakala Hazimi banyak bertanyakan kepada saya mengenai bila pembunuh ibunya akan digantung?," kata Irwan.
Dalam kejadian itu Norazita maut ditembak suspek ketika membuka peti besi dalam bilik kebal bank berkenaan.
Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek yang juga seorang pengawal keselamatan di bank itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment