Saturday 26 July 2014

Selekoh Rasau 'tagih nyawa'

Mohamad Ali menunjukkan selekoh Rasau yang menjadi lokasi kemalangan.
Mohamad Ali menunjukkan selekoh Rasau yang menjadi lokasi kemalangan.

SEGAMAT – Selekoh berbahaya di jalan utama di persimpangan Kampung Kadut atau lebih dikenali sebagai ‘selekoh Rasau’ oleh penduduk tempatan, di sini, sering menjadi lokasi kemalangan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

Ketua Kampung Kadut, Mohamad Ali Hishamuddin Hassan berkata, antara faktor utama kemalangan di kawasan tersebut ialah keadaan selekoh jalan tajam selepas persimpangan lampu isyarat Jabi.

“Kebiasaannya, kenderaan yang datang dari arah Segamat ke Buloh Kasap ini akan dipandu laju selepas lampu isyarat tersebut, kira-kira 500 meter daripada lampu isyarat tersebut ada satu selekoh tajam.

“Hal ini menyebabkan ada antara kenderaan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh deretan kedai buah-buahan yang terdapat di bahu jalan selepas selekoh tersebut,” katanya.

Menurutnya, antara faktor lain kemalangan di selekoh berkenaan adalah keadaan jajaran berselekoh dan curam, selain sikap pengguna jalan raya yang melakukan pusingan U (U turn) di kawasan tidak dibenarkan.

"Selain itu, deretan gerai di bahu jalan dan terlalu banyak laluan keluar masuk turut menyumbang kekerapan kemalangan di selekoh Rasau.

“Saya sendiri sudah beberapa kali melihat dan menolong mangsa kemalangan di selekoh Rasau. Dahulu terdapat sebuah wakaf baharu didirikan tetapi tidak bertahan lama selepas dilanggar sebuah lori terbabas.

“Isu mengenai selekoh Rasau juga telah saya bangkitkan pada jabatan berkenaan,” katanya. 

Adun Pemanis, Lau Chin Hoon berkata, pelbagai usaha dijalankan bagi mengkaji sebab berlakunya kemalangan di kawasan tersebut.

"Hasil kajian tersebut akan digunakan untuk mengurangkan atau mengatasi masalah kemalangan di situ. Antara cadangan dikemukakan adalah memperbaiki permukaan jalan dan memasang pembahagi jalan daripada simpang Jabi hingga ke hadapan stesen minyak Petronas.

“Pengguna jalan raya juga boleh membuat U turn di hadapan stesen mintak Petronas kerana di kawasan tersebut mempunyai rezab jalan agak besar, selain mengalihkan gerai yangterlibat ke tempat lebih sesuai dan selamat,” katanya.

Menurutnya, JKR Segamat juga telah memaklumkan untuk penyelesaian jangka panjang, jalan tersebut memerlukan penjajaran semula dan memerlukan peruntukan RM3 juta.

Jelasnya, definisi selekoh Rasau juga harus diperluas bagi meliputi keseluruhan panjang jalan dari persimpangan Jabi hingga ke persimpangan lebuhraya Segamat-Kuantan, tidak terhad kawasan di persimpangan Kampung Kadut sahaja. “Keseluruhan

kawasan ini di bawah perhatian dan kajian audit keselamatan JKR. Ini merupakan satu kawasan berisiko dan mencabar untuk pengguna jalan raya dan saya turut mengalu-alukan pandangan masyarakat khususnya pengguna jalan raya,

“Isu selekoh Rasau juga telah dibawa ke Sidang Dewan Negeri Johor bagi mendapatkan penyelesaian dan pandangan kerajaan negeri. Daripada jawapan diterima, jumlah kemalangan di lokasi berkenaan adalah 55 kes pada tahun 2013 dan 52 kes untuk tahun 2012,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Segamat, Asisten Supritendan Mansor Taib berkata, antara lokasi panas kemalangan di daerah ini adalah sepanjang kilometer (KM) 173 hingga KM190 Jalan Johor Bahru-Seremban dan KM1 hingga KM10 lebuhraya Segamat-Kuantan. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment