Saturday 26 July 2014

Peletakan jawatan PM Ukraine tak jejas siasatan

Peletakan jawatan PM Ukraine tak jejas siasatan

KUALA LUMPUR - Kerajaan Ukraine hari ini memberi jaminan penyiasatan terhadap tragedi yang menimpa Penerbangan MH17 Malaysia Airlines akan diteruskan, walaupun Perdana Menterinya, Arseniy Yatsenyuk meletak jawatan Khamis lepas.

Duta Ukraine di Malaysia, Ihor V. Humennyi berkata, siasatan diteruskan dan kerajaan negaranya berikrar 'tidak akan berehat' selagi pembunuh terbabit tidak dikesan dan diheret ke muka pengadilan.

Pihak berkuasa Ukraine terus menghulurkan segala bantuan yang termampu kepada pasukan penyiasat antarabangsa, termasuk menyediakan kelengkapan teknikal dan petugas serta semua perkara yang diperlukan bagi menghantar pulang mayat mangsa tragedi itu ke negara asal masing-masing, katanya kepada Bernama.

"Kami (Kerajaan Ukraine) beri jaminan kepada anda bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan. Kami bekerja keras untuk membantu pasukan antarabangsa dan mengheret mereka yang menjadi punca berlakunya tragedi MH17 ke muka pengadilan.

"Malah, semalam, Presiden Ukraine Petro Poroshenko berhubung dengan Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri) Najib (Tun) Razak untuk memaklumkan kepada beliau perkembangan terkini berkaitan tragedi itu dengan harapan ia dapat diselesaikan dengan secepat mungkin," katanya.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 orang, termasuk 15 anak kapal, sedang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di wilayah Donetsk, di utara Ukraine, berhampiran sempadan Rusia.

Pesawat malang itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands), Khamis (17 Julai) dan dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada 18 Julai.

Pesawat jenis Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh. Malaysia berikrar menjalankan siasatan rapi tentang punca keadian itu dan pasukan penyiasat khasnya tiba di Ukraine Sabtu lepas.

Dua hari lepas, Yatsenyuk meletak jawatan apabila parti nasionalis, Svoboda, dan parti Udar, menarik diri daripada gabungan yang memerintah Ukraine.

Mengenai butiran data mentah daripada radar tentera, Humennyi berkata, kerajaan Ukraine bersedia berkongsinya dengan pakar daripada suruhanjaya antarabangsa yang menyiasat kejadian itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment