Saturday, 26 July 2014

Jasa dan pengorbanan bomba tidak ternilai pada musim perayaan

Jasa dan pengorbanan bomba tidak ternilai pada musim perayaan

KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam sibuk dan bergembira bersama keluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri, bagi anggota pasukan Bomba dan Penyelamat pula mereka sibuk menjalankan tugas menjaga kesejahteraan orang awam.

Ramai antara anggota bomba tidak dapat bercuti untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga sebaliknya mereka terpaksa bertugas secara giliran 24 jam dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagi pegawai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Sharuddin Abdullah, 53, perasaan sayu tidak dapat dielak, apabila bertugas di hari lebaran apatah lagi ketika mengenangkan kedua arwah ibu bapanya yang telah lama meninggal dunia.

"Demi tugas, saya sanggup melupakan keseronokan berhari raya bersama keluarga kerana bebanan tugas anggota bomba kini bertambah dan bukan sekadar memadamkan api kebakaran.

"Pasukan bomba juga bertugas di sepanjang kawasan lebuh raya untuk membantu jika berlaku kemalangan dan kebakaran kenderaan selain menyelamatkan mangsa dan memberi bantuan awal," katanya kepada Bernama.

Sharuddin, yang berasal dari Perak telah berkhidmat dengan bomba selama 37 tahun dan sudah lali bertugas di hari lebaran.

"Ratusan anggota bomba di seluruh negara terpaksa bertugas di hari raya kerana ketika itu kes-kes kemalangan jalan raya sering berlaku dan kebakaran juga boleh berlaku apabila orang meninggalkan rumah tanpa menutup suis elektrik dan sebagainya," kata beliau.

Sharuddin yang mempunyai empat anak berkata hati dan perasaannya tersentuh apabila kedengaran takbir raya di malam raya kerana teringatkan anak isterinya yang pulang ke kampung.

Sementara itu, bagi rakannya Farid Norizam Jafri, 23, yang berasal dari Johor Baharu berkata statusnya yang masih bujang menyebabkan dia rela bertugas pada hari raya bagi memberi laluan kepada rakan sekerjanya yang telah berkahwin.

"Sudah tiga tahun berturut-turut saya bertugas pada hari lebaran...berlinangan juga air mata ketika mula-mula saya berkhidmat, saya bekerja pada hari raya," katanya.

Farid berkata adakalanya mereka terpaksa bertugas 24 jam kerana membantu mengeluarkan mangsa kemalangan yang tersepit dalam kenderaan sehingga mereka tidak terfikir untuk menyambut hari raya. - Bernama

No comments:

Post a Comment