Tindakan DBKL memasang palang besi menimbulkan pertikaian.
KUALA LUMPUR - Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memasang palang besi di bangku orang awam sekitar ibu kota menimbulkan reaksi kurang senang sebilangan pihak.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, palang besi berkenaan dipasang bagi mengelakkan bangku orang awam tersebut menjadi tempat tidur golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Bagaimanapun katanya, tindakan itu dianggap tidak menyantuni golongan gelandangan yang menjadikan bangku tersebut sebagai tempat berehat.
“Mereka sewajarnya dibantu dan bukannya dilayan sebegini. Saya amat kecewa dengan tindakan yang dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.
Lip Eng berkata, lebih memilukan, ada di antara gelandangan sanggup tidur di celah palang besi yang dipasang itu pada waktu malam untuk berehat.
Jelas beliau, DBKL perlu bertolak ansur dengan golongan berkenaan.
“Mereka hanya tumpang untuk tidur buat beberapa jam dan DBKL perlu bertolak ansur dalam perkara ini,” katanya.
Lip Eng turut menggesa supaya DBKL menanggalkan semula besi-besi berkenaan dalam tempoh jangka masa yang terdekat.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib menerangkan, tindakan DBKL memasang palang besi di bangku-bangku awam adalah sebagai langkah percubaan bagi mengelakkan kemudahan itu disalah guna golongan gelandangan.
Bagaimanapun menurutnya, meskipun begitu, golongan itu masih menggunakan bangku berkenaan sebagai tempat tidur dengan menjulurkan badan di bawah penghadang yang di pasang.
“Golongan ini ada yang bermasalah mental, berpenyakit berkaitan HIV dan ada juga antara mereka yang mengalami luka teruk sehingga menimbulkan rasa tidak selesa orang ramai.
“Kita mahukan pastikan kemudahan itu dapat dimanfaatkan bersama warga kota seterusnya menjadikan bandaraya Kuala Lumpur lebih berimej bersih.
“Ini juga sebagai satu percubaan dan pemasangan hanya dibuat di kawasan protokol iaitu di Jalan Tunku Abdul Rahman,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya masih dalam rundingan menentukan bangunan yang akan dijadikan pusat aktiviti golongan gelandangan.
“Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga akan bekerjasama untuk kita menyediakan kemudahan ini, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat,” katanya.
Terdahulu, sebuah NGO yang menggelar diri mereka sebagai Dapur Jalanan Kuala Lumpur dalam kenyataannya kelmarin mengutuk sekeras-kerasnya pemasangan palang besi di bangku-bangku awam sekitar Kuala Lumpur oleh pihak DBK dan menganggap ia sebagai tindakan kejam dan tidak bertimbang rasa. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment