Saturday, 26 July 2014

Diskaun tol pada 1 Syawal

Diskaun tol pada 1 Syawal

Pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint bakal menikmati potongan diskaun atas kadar bayaran tol sehingga RM 0.60 bagi semua kenderaan kelas satu di musim perayaan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota, Sazally Saidi berkata, pihak pengurusan Litrak telah bersetuju untuk memberikan potongan kadar bayaran tol terhadap pengguna lebuh raya tersebut bagi tujuan untuk memudahkan umat Islam berhari raya menjelang Aidilfitri nanti.

“Seperti tahun-tahun terdahulu, kami akan memberikan diskaun kepada pengguna lebuhraya Litrak. Untuk tahun ini kami akan berikan potongan kadar bayaran tol sehingga RM 0.60 ke atas kenderaan kelas satu dan bagi RM.020 bagi pengguna kenderaan di Lebuhraya Sprint,” katanya kepada Sinar Harian Online. 

Beliau berkata, potongan kadar bayaran tol tersebut hanya sah ditawarkan kepada pengguna pada 1 Syawal sahaja.

“Kadar diskaun yang diberikan kepada pengguna hanya untuk 1 Syawal nanti dan ia bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan lebuh raya tersebut untuk mengunjungi sanak-saudara mereka,” katanya lagi.

Tambahnya, dengan potongan istimewa pada kadar bayaran tol yang dikenakan kepada pengguna, beliau percaya pengguna Lebuhraya Litrak akan lebih selesa menggunakan lebuh raya tersebut.

“Memandangkan lebuh raya ini adalah lebuh raya dalam bandar, pihak kami jangka trafik agak berkurangan menjelang Aidilfitri nanti.

"Trafik mungkin hanya akan menjadi pesat sebelum hari raya di mana orang ramai berpusu-pusu mahu pulang ke kampung,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan menasihatkan semua pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu.

“Kepada pengguna jalan raya, kami berharap mereka yang pulang beraya di kampung pada tahun ini akan memandu dengan lebih berhati-hati dan selamat kembali ke kampung halaman masing-masing,” katanya lagi. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment