Sunday 13 July 2014

Peniaga akan dihukum jika naik harga

Khazali (tengah) ketika mengadakan lawatan ke pameran sempena Persidangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, semalam
Khazali (tengah) ketika mengadakan lawatan ke pameran sempena Persidangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014

KUALA LUMPUR - Peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikenakan tindakan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, jika didapati peniaga itu melakukan kesalahan tersebut, ia boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Percatutan.

“Walaupun cukai jualan dikenakan di peringkat pembuatan yang akan menimbulkan ‘kesan kompaun’, tapi peratusan dalam saluran pengedaran sering digunakan untuk kedua-dua elemen cukai dan kos barangan yang dijual bagi sesetengah pihak untuk kaut keuntungan.

“Cukai jualan tidak melibatkan cukai barang yang dieksport kerana ia benar-benar cukai bebas yang tidak mempunyai kos tersembunyi,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Persidangan GST Kebangsaan 2014 di sini, semalam.

Khazali turut menyarankan syarikat perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mendaftar di bawah sistem MYGST lebih awal bagi mendapatkan subsidi E-baucer bernilai RM1000 untuk membeli perisian perakaunan patuh GST daripada pembekal yang disahkan oleh Jabatan Kastam.

“Kita dah luluskan hampir 3,900 pelesen dan bagi saya ini adalah satu pendekatan yang baik.Sementara masih ada masa, lebih baik kita buat secara sukarela, ini lebih baik dan bagus,” katanya.

Selain itu, kata beliau pihaknya turut mewujudkan program latihan ‘hand-holding’ sebagai program latihan yang akan memberi penerangan kepada syarikat perniagaan mengenai sistem GST.

Katanya, program itu mempunyai enam modul yang akan menerangkan berkenaan GST untuk sektor perniagaan, implikasi aliran tunai, kesan ke atas polisi harga, implikasi kepada sistem perakaunan, aliran kerja dan pemprosesan, dan keperluan dokumentasi terutamanya
invois cukai serta laporan GST.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tax Advisory and Management Services Sdn Bhd (TAMS), Yong Poh Chye berkata, harga petrol RON95 dan diesel akan kekal jika diberikan pengecualian daripada dikenakan GST.

Poh Chye berkata, kesan lain GST terhadap pengguna selepas pelaksanaannya tidak akan memberikan kesan tinggi memandangkan ia adalah cukai yang efektif.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment