Sunday 13 July 2014

Kisah menarik di Kampung Parit Jerman

Penduduk mengenakan jersi skuad Jerman bagi menyokong pasukan pilihan mereka.
Penduduk mengenakan jersi skuad Jerman bagi menyokong pasukan pilihan mereka.


PONTIAN - Kejayaan pasukan Jerman melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil, menjadi detik istimewa bagi penduduk Kampung Parit Jerman di sini yang hampir kesemua mereka adalah penyokong tegar skuad tersebut.

Faktor nama kampung sama dengan negara Jerman, dijadikan alasan bagi kebanyakan penduduk untuk menyokong negara Eropah Tengah itu sejak bermula demam Piala Dunia.

Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Ayer Masin, Mohd Asri Ali berkata, penduduk gembira dan teruja apabila pasukan pilihan mereka layak ke perlawanan akhir selepas membelasah tuan rumah, Brazil 7-1.

“Kejayaan Jerman mara buat kali kelapan ke perlawanan akhir Piala Dunia, menjadi kebanggaan kampung yang kini semakin popular disebabkan Jerman,” katanya.

Jelasnya, penduduk akan berkumpul bersama di kawasan gelanggang badminton kampung bagi menyaksikan perlawanan akhir yang berlangsung awal pagi esok melalui skrin besar yang disediakan.

“Skrin besar akan dipasang di kawasan gelanggang badminton kampung yang boleh memuatkan kira-kira 100 penduduk Kampung Parit Jerman dan kampung sekitar.

“Kami juga akan bersahur bersama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, penduduk akan mengadakan kenduri nasi ambang jika pasukan Jerman menjuarai Piala Dunia.

“Kami yakin pasukan Jerman akan jadi juara menentang Argentina dan jawatankuasa penduduk bercadang mengadakan kenduri nasi ambang jika Jerman menang.

“Kenduri nasi ambang yang akan diadakan sebagai kesyukuran ekoran Kampung Parit Jerman yang semakin dikenali selepas mendapat paparan luas di media sosial, surat khabar dan stesen televisyen,” katanya.

Menurut Mohd Asri, asal usul nama kampung itu lahir sebelum Perang Dunia pertama apabila terdapat sekumpulan pedagang Jerman yang sering menggunakan laluan utama di kawasan terbabit untuk membawa keluar hasil tanaman mereka.

“Pedagang Jerman tersebut menetap di Sungai Peradin yang berhampiran dan mengusahakan tanaman seperti nanas, kelapa dan getah di kawasan ini dan menjadikan jalan kampung ini sebagai laluan utama mereka.

“Disebabkan itu, penduduk tempatan memberi nama Parit Jerman sehingga nama tersebut kekal diguna pakai ke hari ini,” katanya.

Bagi penduduk, Mohd Yatim Ali, 49, pasukan Jerman menjadi pilihannya kerana kampungnya mempunyai nama sama dengan negara pasukan yang digeruni itu.

“Setiap kali musim Piala Dunia tiba, saya akan menjadi penyokong setia pasukan Jerman, pada perlawanan akhir di Brazil saya yakin Jerman mampu mengalahkan Argentina 3-0,” katanya.

Sementara itu Fazli Sahron, 34, menyifatkan skuad Jerman adalah pasukan terkuat yang beraksi dalam Piala Dunia 2014 meskipun tidak mempunyai pemain-pemain nama besar.

“Permainan yang ditunjukkan pemain di bawah jurulatih Jerman, Joachim Loew begitu konsisten. Bagaimanapun lawan Jerman iaitu Argentina bukan calang-calang. Saya yakin Jerman akan menang dengan 1-0,” katanya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment