Sunday, 13 July 2014

Van Gaal mahu ulangi kejayaan Belanda bersama Man United

VAN GAAL: Peminat Man United perlu menerima kekalahan dari masa ke masa. -gambar fail


BRASILIA: Louis van Gaal berharap mampu mengulangi kejayaannya menguruskan skuad Belanda di Piala Dunia apabila beliau mengambil alih pasukan Manchester United.

Van Gaal bakal menjadi pengurus di Old Trafford dengan ujian paling berat untuk mengembalikan kegemilangan skuad Red Devils setelah melalui musim yang malap di bawah David Moyes di samping khabar angin dari bilik persalinan.

Pengurus berusia 62 tahun itu bagaimanapun dilihat tidak akan mengalami masalah untuk meraih rasa hormat ekoran kejayaannya mengemudi skuad Belanda di Brazil dan atas sifat sepasukan yang dipupuknya dalam skuad Oranje itu.

Keputusannya untuk membenarkan penjaga gol Michel Vowm bermain pada perlawanan penentuan Belanda menentang Brazil awal pagi Ahad membolehkan kesemua 23 pemain dalam skuad itu beraksi di pentas Piala Dunia.

“Mereka semua akan tetap berada dalam hati saya,” ujar van Gal yang akan digantikan oleh Guus Hiddink di Belanda.

“Pemain saya semuanya hebat. Saya berharap agar mereka di dalam pasukan Manchester akan menjadi seperti ini kerana kami akan membaca ‘lembaran yang sama’. Saya harap saya akan mampu membuatkan mereka melakukan perkara yang sama,” katanya.

Belanda kekal tanpa kalah dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dan hanya memiliki satu kekalahan iaitu kepada Argentina di dalam separuh akhir menerusi penentuan penalty, dan van Gaal turut mengingatkan penyokong United bahawa mereka perlu menerima kekalahan dari masa ke masa.

“Saya tidak berjaya melakukannya bersama Ajax, Barcelona atau Bayern Munich. Kalah itu sebahagian daripada sukan ini.” ujarnya.

“Saya cuma berharap agar saya mampu melakukan yang terbaik bersama Manchester United. Samada ia mencukupi untuk peminat, kita perlu tunggu dan lihat, namun saya ikhlas berharap ia akan menjadi kenyataan,” katanya kepada AFP. - Agensi

No comments:

Post a Comment