Saturday 12 July 2014

Maritim tahan 4 lelaki Indonesia ceroboh perairan

PELABUHAN KLANG - Empat lelaki warga Indonesia termasuk seorang tekong bot gentian kaca ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika menceroboh masuk negara ini melalui perairan pantai Morib malam tadi.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Kapten Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata mereka ditahan kira-kira 11.40 malam dalam Ops Tumpas, yang dilancarkan 1 Julai lepas bagi membendung jenayah maritim di perairan negara pada musim perayaan ini.

Beliau berkata bot peronda Maritim yang menjalankan operasi di sekitar perairan Morib, mengesan sebuah bot gentian kaca berwarna biru berkelajuan 120 kuasa kuda dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya kira-kira satu batu nautika dari perairan itu. 

"Pada mulanya, bot Maritim menghampiri dan mengarahkan bot itu berhenti, namun tidak diendahkan malah ia dipecut laju menuju ke Pantai Morib," katanya dalam sidang media di pejabat Maritim Pelabuhan Utara di sini, hari ini.

Berikutan itu, Maritim mengejar bot tanpa plat pendaftaran itu kira-kira 15 minit sehingga ke pantai Morib.

Mohd Aliyas berkata berlaku pelanggaran antara bot Maritim dengan bot suspek ketika menahan bot itu menyebabkan tekong bot suspek cedera di tangan kanannya.

Dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang. 

"Siasatan awal mendapati kesemua lelaki itu berumur antara 30 dan 42 tahun, dan menuju ke perairan negara dari Pantai Dumai ataupun Pulau Bengkalis, Indonesia," katanya.

Mereka dibawa ke Jeti Daerah Maritim Klang untuk siasatan lanjut. Tekong bot yang mempunyai dokumen perjalanan sah disiasat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63, manakala tiga penumpang bot yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah pula disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. - Bernama

No comments:

Post a Comment