Sunday 13 July 2014

Brazil diaibkan sekali lagi: Belanda 3 - Brazil 0

Malu yang amat memedihkan. Begitulah kata-kata yang diluahkan oleh pengulas sukan sebentar tadi selepas Brazil sekali lagi dimalukan di laman sendiri.

Harapan untuk menebus maruah mereka yang tercalar terus punah apabila pasukan tuan rumah itu telah ditewaskan 0-3 oleh Belanda dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Stadium Nacional de Brasilia awal pagi Ahad.

Robin Van Perie meraikan gol pertama perlawanan yang dijaringkannya menerusi penalti. -AP Photo/Natacha Pisarenko

Ketiadaan tonggak utama mereka, Neymar yang mengalami kecederaan semasa perlawanan suku akhir dengan Colombia, serta benteng pertahanan yang lemah menjadi punca kekalahan teruk mereka.

Mimpi buruk Brazil itu bermula seawal minit ke-3 apabila Belanda dihadiahkan tendangan penalti selepas kapten Brazil, Thiago Silva menjatuhkan Arjen Robben dalam kotak penalti.

Pada minit ke-13, Brazil hampir menyamakan kedudukan apabila penyerang mereka, Jo menerima hantaran cantik daripada Oscar namun gagal disempurnakannya kerana telah dikawal rapi oleh pertahanan Belanda.

Selang empat minit kemudian, Belanda telah menjaringkan gol kedua mereka selepas pemain pertahanan Brazil, David Luiz gagal menanduk keluar dengan sempurna bola yang ditendang oleh Robben.

Bola itu sebaliknya pergi ke arah pemain Belanda, Daley Blind yang kemudiannya merembat bola ke dalam pintu gol Brazil.

Pemain pertahanan Belanda, Daley Blind menjaringkan gol kedua pasukan Oranje. - AFP PHOTO / VANDERLEI ALMEIDA

Beberapa percubaan cuba dilakukan oleh kedua-dua pasukan sehingga minit ke-90, namun gagal menghasilkan sebarang gol.

Bagaimanapun pada minit ke-91, Belanda telah menjaringkan gol ketiga mereka hasil daripada hantaran kemas Daryl Janmaat ke arah kotak penalti yang telah disempurnakan oleh pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum.


Skuad Holland tersenyum lebar apabila telah berjaya mendahului 2-0 pada minit ke 17 perlawanan. -EPA/FELIPE TRUEBA

Jaringan tersebut telah menjadikan kedudukan perlawanan, Brazil 0-3 Belanda.

Ini merupakan kali kedua pasukan itu dimalukan selepas dibelasah teruk oleh Jerman 7-1 dalam perlawanan separuh akhir, Rabu lalu.

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment