Tuesday 22 April 2014

Lembu naik harga, apa peranan NFCorp?

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar


SHAH ALAM - Pas hari ini menuntut penjelasan daripada kerajaan berkenaan dengan peranan National Feedlot Corporation (NFCorp) dalam membantu menyediakan bekalan daging lembu kepada negara.

Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar berkata, adalah sangat menghairankan negara terpaksa mengimport daging lembu dari luar, sedangkan NFCorp ditubuhkan adalah bermatlamat untuk menyediakan bekalan daging yang mencukupi kepada negara.

"Isu bekalan daging lembu ini,ianya menjadi satu krisis dek kerana bekalannya tidak mencukupi sehinggakan harganya berkemungkinan akan melonjak sehingga RM40.

"Oleh itu apa yang saya hendak katakan disini ialah,saya mintak penjelasan daripada pihak kerajaan terutama daripada Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Ismail Sabri Yaakob, khususnya tentang kedudukan projek NFCorp ini.

"Sebab kalau mengikut anggaran daripada perlaksanaan projek NFCorp ini iaitu mereka akan ternak lembu sebanyak 20,000 sepusingan, atau 60,000 setahun menjelang 2015.

"Namun yang menjadi isu sekarang ialah kerajaan akan import lembu daripada luar, iaitu lebih kurang 20,000 akan dibawa masuk, jadi saya nak tanya apa jadi dengan projek feedlot ini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Pas hari ini.

Oleh itu, menurut Mahfuz lagi, adalah tidak wajar projek NFCorp yang menelan belanja sebanyak RM250 juta itu tidak dapat membantu rakyat untuk mendapat bekalan daging dengan harga yang berpatutan.

"Bagi saya adalah tidak wajar rakyat terpaksa menanggung kenaikkan harga akibat daripada bekalan yang tidak mencukupi sedangkan projek NFCorp menelan belanja yang besar," katanya.

Projek NFCorp ini diuruskan oleh keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

--Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment