Wednesday 23 April 2014

Takaful Malaysia bayar dividen tertinggi

Takaful Malaysia

SYARIKAT Takaful Malaysia Bhd hari ini mengumumkan pembayaran dividen tertinggi dalam sejarahnya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Dalam satu kenyataan hari ini, Takaful Malaysia berkata hasil daripada keputusan cemerlang pada 2013, syarikat itu mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 40 peratus, yang diluluskan oleh pemegang saham pada mesyuarat agung hari ini.

"Berdasarkan cadangan dividen akhir itu, jumlah dividen satu peringkat bagi 2013, termasuk dua dividen interim yang dibayar pada tahun itu, menjadikan keseluruhannya 82 peratus, dan diterjemahkan kepada pulangan dividen 6.6 peratus berasaskan harga penutup saham syarikat sebanyak RM12.40 pada 21 April, 2014," katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, keuntungan Takaful Malaysia selepas cukai dan zakat meningkat 34 peratus kepada RM134.4 juta berbanding RM100.1 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan Takaful Malaysia Datuk Mohamed Hassan Kamil berkata tahun ini, Takaful Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-30.

Syarikat itu akan terus memberi penekanan kepada empat bidang teras iaitu capaian pelanggan, kecekapan operasi, keberkesanan kos dan keyakinan pemegang saham, katanya.

"Matlamat utama Takaful Malaysia ialah mengatasi pasaran dan mewujudkan syarikat yang kukuh dan menjadi pilihan, bukan sahaja dalam kalangan syarikat takaful, malah kesemua penyedia insurans konvensional," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment