Tuesday 22 April 2014

Ops noda: 19 GRO warga China ditahan

MELAKA - Sebanyak 19 wanita warga China dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dan tiga lelaki tempatan ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Merdeka Banda Hilir di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka ASP Azhar Abdul Rahim berkata ketika serbuan pada 1.30 pagi tadi, 16 daripada wanita terbabit sedang membuat persembahan tarian dan nyanyian di atas pentas manakala tiga lagi sedang melayan pelanggan. 

Beliau berkata seorang lelaki penjaga premis berusia 50 tahun dan dua pelanggan berusia 23 dan 40-an yang didapati positif dadah jenis syabu selain dikehendaki polis berhubung kes tipu di Genting Highlands, Pahang turut ditahan dalam operasi itu.

"Siasatan awal mendapati pelanggan perlu membayar antara RM100 hingga RM1,000 untuk menyaksikan persembahan tersebut dan mereka akan dikalungkan bunga oleh GRO yang membuat persembahan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Katanya pelanggan juga boleh memilih pelbagai tiara yang dijual di premis tersebut untuk diberikan kepada GRO yang disukai pada harga sehingga mencecah ribuan ringgit.

Azhar berkata premis yang telah diserbu sebanyak tiga kali sejak Januari lepas itu berselindung di sebalik lesen menjalankan penerbitan dan pengambaran filem didakwa dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menutup kegiatan menawarkan persembahan melibatkan GRO warga asing. 

"Pusat hiburan ini mempunyai lesen sah dan mendakwa diberikan lesen tambahan untuk menjalankan persembahan tarian dikeluarkan SKMM bagi tujuan menjalankan penerbitan dan pengambaran filem bertarikh bulan lepas," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment