Orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bekas pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh di Dewan Sri Pinang di Georgetown. - Foto Bernama
GEORGETOWN - Anak lelaki sulung mendiang Karpal Singh, Jagdeep Singh Deo hari ini menyatakan setinggi-tinggi terima kasih atas kehadiran himpunan besar anggota masyarakat di upacara persemadian bapanya.
Jagdeep, yang juga anggota dewan negeri Datuk Keramat berkata beliau dan keluarganya terpegun dengan respons orang ramai menyertai perarakan untuk persemadian Ahad lepas.
Beliau berkata sekalipun himpunan begitu besar yang di luar jangkaan, jawatankuasa persemadian yang diketuai pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berjaya mempastikan upacara itu berlangsung dengan lancar.
"Keluarga saya dan saya mengucapkan terima kasih kepada setiap orang, para sukarelawan dan semua yang telah membantu menentukan upacara kunjungan dan persemadian berjalan licin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir balu Karpal, Gurmit Kaur; anak lelaki bongsunya Mankarpal; abangnya Baksis Singh; Chow, dan anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi.
Karpal terbunuh dalam kemalangan kereta melibatkan MPV yang dinaikinya dengan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung di Perak pada 17 April.
Mendiang diberi penghormatan negeri di upacara persemadian kerana sumbangannya kepada komuniti dan masyarakat peguam.
Jagdeep berkata keluarganya telah mengumpul abu mayat Karpal dari krematorium Batu Gantung pagi semalam dan ditaburkan di kawasan laut antara Straits Quay dan Greenhall.
"Keadaan laut begitu tenang ketika kami menjalankan upacara," kata beliau.
Jagdeep berkata upacara keagamaan terakhir dipanggil 'Akhand Path' akan diadakan di Gurdwara Pulau Pinang pada Khamis ini bermula jam 7.30 pagi hingga 12.00 tengah hari Sabtu. -- Bernama
No comments:
Post a Comment