Tuesday, 22 April 2014

'Malam Kenangan Karpal Singh' dianjur peringati jasa mendiang

"Malam Kenangan Karpal Singh" akan berlangsung Khamis ini



KUALA LUMPUR: Dalam usaha mengenang jasa dan pengorbanan ahli parlimen dan peguam tersohor, mendiang Karpal Singh yang meninggal dunia dalam satu kecelakaan jalan raya minggu lalu, satu majlis peringatan bakal diadakan pada Khamis ini, 24 April.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata majlis tersebut yang dinamakan 'Malam Kenangan Karpal Singh' diadakan kepada masyarakat yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis penghormatan terakhir mendiang Karpal Singh yang diadakan pada minggu lalu.

"Ramai masyarakat dari pelbagai kaum berasa begitu dekat dengan sumbangan mendiang namun mereka tidak berkesempatan untuk datang dan memberikan penghormatan terakhir mereka kepada mendiang ketika majlis tersebut diadakan di Pulau Pinang," kata Lim dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Parti DAP Malaysia di sini tadi.

Lim Lip Eng (tengah) pada sidang media pengumuman "Malam Kenangan Karpal Singh" yang diadakan siang tadi - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Tambah Lim lagi, majlis tersebut akan diadakan di Dewan Besar SJK (C) Chung Kwo, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

"Majlis akan bermula pada jam 7 petang sehingga 11 malam dan pendaftaran kehadiran akan bermula pada jam 7.30 petang dan kita menjangkakan kira-kira 5,000 orang akan hadir pada majlis tersebut,".

Antara tetamu kehormat dari Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, anak Karpal Singh sendiri yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, mantan Pengerusi BERSIH, S.Ambiga dan peguam, Malik Imtiaz.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment