Thursday, 13 March 2014

MH370: Mayat ditemui di Selat Melaka bukan penumpang pesawat yang hilang


KUALA LUMPUR: Mayat yang dilaporkan ditemui di perairan Selat Melaka pada awal hari ini disahkan bukan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang sehingga ini masih hilang selepas dikesan kali terakhir pada Sabtu lalu.

Polis Indonesia mengesahkan mayat itu sebagai Abdi Sasmita, 54 tahun, warga Desa Bangun Sari di Deli Serdang, Sumatera Utara.

Lelaki itu disahkan seorang pemancing yang hilang di perairan dekat Pantai Kuala Aceh, pada petang Ahad.

"Berdasarkan laporan, dia terjatuh setelah kapal yang dia tumpangi bersama tiga orang lainnya dihentam ombak," kata pegawai polis Indonesia seperti dipetik oleh laman web berita Merdeka.com.

Mayat itu dibawa ke Pelabuhan Ujung Bom, Tanjung Tiram, Batubara sebelum dipindahkan ke hospital.

Sementara itu, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mengesahkan tiada mayat ditemui setakat ini.

Menjawab soalan wartawan ketika sidang media itu, Hishammuddin menegaskan tidak ada sebarang mayat ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 setakat ini.

"Tidak ada mayat yang boleh dikaitkan dengan penumpang MH370 ditemui setakat ini," katanya dalam sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini.

Hishammuddin juga mengesahkan sebuah objek berupa rakit yang ditemui sekumpulan nelayan di Port Dickson tiada kaitan dengan pesawat MH370.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang petunjuk yang ditemui boleh dikaitkan dengan pesawat Boeing 777-200 milik MAS.

Malah, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga hari ini menegaskan pesawat yang berpatah balik yang dikesan radar tentera Malaysia awal pagi Sabtu tidak dapat disahkan sebagai MH370.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment