Thursday, 13 March 2014

MH370: Jangan beri harapan palsu


CYBERJAYA: Tiada siapa yang benar-benar dapat menyelami perasaan ahli keluarga yang menunggu khabar berita orang tersayang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.

Bagi pengasuh dan kaunselor, sesetengah mereka yang mengorbankan masa kerja yang lebih untuk membantu, apa yang mereka cuba lakukan adalah untuk memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga terlibat.

"Tidak ada banyak yang boleh kami lakukan. Mungkin akan ada keajaiban atau berita baik tetapi sebenarnya apa yang boleh kita lakukan ialah menenangkan perasaan mereka dengan cuba membayangkan kita sendiri yang melalui apa yang mereka lalui sekarang," kata kaunselor sukarelawan Ow Lai Fan.

Ow bersama tiga sukarelawan lain, Saw Phaik Wah, Christina Ong, and Barbara Yen, datang ke Cyberview Lodge pada Rabu menawarkan diri untuk menghulurkan bantuan dan sokongan emosi kepada 12 keluarga kebanyakannya dari China yang menginap di situ.

Mereka datang kerana merasakan "perlu melakukan sesuatu daripada hanya duduk berpeluk tubuh" selepas mendapat tahu kehilangan pesawat itu.

Mereka menawarkan sesi kaunseling bersemuka atau dalam kumpulan.

Bagaimanapun empat anggota pertubuhan Buddha diberitahu khidmat mereka tidak diperlukan sekarang.

Barbara, sukarelawan yang paling kanan. Wanita kecil molek berumur 67 tahun itu sudah menghabiskan 40 tahun daripada usianya untuk kerja sosial dan kaunseling.

"(Apa yang mereka perlukan) ialah sokongan daripada keluarga dan masyarakat," kata Barbara kepada wartawan.

Dia yang pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya menjaga pengidap HIV dan masalah mental di hospital. Dia juga mempunyai pengalaman kaunseling mangsa tsunami di Sri Lanka.

"(Tetapi) adakalanya mereka perlu masa," kata Barbara, merujuk kepada media dan tumpuan yang diberikan kepada keluarga penumpang MH370.

“Media kadang-kadang boleh jadi keterlaluan, boleh menambahkan keresahan keluarga. Saya tidak tahu, sepatutnya media tidak menyerbu mereka sekali harung," katanya, dan menambah media melakukan "tugas yang baik untuk memberitahu masyarakat."

Menurut Barbara, ahli keluarga penumpang MH370 memerlukan sokongan, kasih sayang dan kebajikan daan bukan maklumat palsu dan spekulasi.

"Jangan beri harapan palsu juga. Apabila ada terlalu banyak harapan ia mungkin jadi sebaliknya. Jangan kata apa-apa. Hanya cerita apa yang perlu dengan kasih sayang, dengan belas kasihan dan pemahaman," katanya.

Biarpun ditolak oleh Malaysia Airlines dan Kedutaan China, kumpulan itu berkata mereka bersedia untuk dipanggil membantu bila-bila masa diperlukan.

Setakat ini lebih kurang 100 buah keluarga dari enam negara — iaitu China, New Zealand, Ukraine, Indonesia, India, dan Malaysia — berada di Kuala Lumpur menunggu perkembangan terkini usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 serta nasib 239 yang menaikinya.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment