Thursday, 13 March 2014

MH370: Hari keenam, kehilangan pesawat terus jadi misteri


KUALA LUMPUR: Hari ini hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang sehingga ini masih hilang selepas dikesan kali terakhir pada awal pagi Sabtu lalu.

Sehingga semalam, misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) masih belum ada tanda-tanda akan ditemui.

Hari kelima, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Tun Hussein belum menemui sebarang kotak hitam daripada pesawat MH370 yang hilang awal pagi Sabtu lalu.

"Tidak ada apa-apa kesan ditemui, tidak ada kotak hitam milik MH370 dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

"Fokus kita untuk mencari pesawat. Kita melakukan operasi di Laut China Selatan dan Selatan Melaka.," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata sebanyak 12 negara menyertai misi SAR pesawat MH370 dengan negara terbaru India, Jepun dan Brunei.

Beliau berkata Malaysia juga amat mengalu-alukan lebih ramai pakar dalam bidang penerbangan tampil membantu operasi SAR.

"Sehingga kini 39 pesawat, 42 kapal dan 12 negara bersama dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 ini," katanya lagi.

Manakala, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberitahu, pesawat yang berpatah balik yang dikesan radar tentera Malaysia awal pagi Sabtu tidak dapat disahkan sebagai MH370.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkefly Mohd Zin berkata, untuk tidak mengambil sebarang risiko, pihaknya menghantar pesawat C130 untuk meninjau tetapi tidak menemui apa-apa di kawasan terakhir pesawat misteri itu dikesan.

"Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Sabtu mengarahkan supaya kawasan mencari dan menyelamat diperluaskan, kami (ATM) melihat kawasan yang akan diperluaskan.

"Kita kaji semula rakaman daripada radar dan kami mendapati ada kemungkinan pesawat ini berpatah balik dan tak pasti sama ada ia adalah pesawat yang sama tapi dalam radar ada nampak patah balik," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, semalam.

Manakala Panglima Tentera Udara (PTU), Tan Sri Rodzali Daud mendedahkan satu pesawat tidak dikenali dikesan pada kedudukan barat laut Pulau Pinang, awal pagi Sabtu.

Rodzali berkata pesawat yang masih belum dikenalpasti itu mungkin pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dijadualkan ke Beijing.

“Saya tidak kata bahawa ini adalah MH370. Kami sedang mengesahkannya. Kami masih bekerjasama dengan pakar," katanya.

Beliau menjelaskan, pesawat misteri itu dikesan pada 2.15 pagi waktu tempatan pada Sabtu, kira-kira 45 minit selepas pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dari skrin kawalan trafik udara antara pantai timur Malaysia dan Vietnam.

Katanya, radar tentera mengesan pesawat tidak dikenali itu berada pada kedudukan kira-kira 320 kilometer di barat laut Pulau Pinang.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment