Tuesday 11 February 2014

Mayat pelancong dibawa ke Hospital Queen Elizabeth

KOTA KINABALU - Mayat pelancong wanita warga Jerman yang maut selepas terjatuh dari puncak Gunung Kinabalu, di Ranau yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut semalam tiba di Hospital Queen Elizabeth di sini, hari ini.

Mayat Victoria Paulsen, 22, yang dibawa oleh kenderaan polis dari Hospital Ranau tiba di rumah mayat Hospital Queen Elizabeth pada pukul 3.45 petang untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superitendan Abdul Rahman Kassim berkata Ibu Pejabat Polis Diraja Bukit Aman telah memaklumkan kepada pihak kedutaan Jerman di Kuala Lumpur untuk pengurusan mayat itu.

"Laporan bedah siasat awal mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian tempurung kepalanya akibat hentakan kuat selepas jatuh daripada satu puncak di gunung itu yang dikenali sebagai 'Low Peak' pada ketinggian dianggarkan 30 meter," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata pihaknya akan menunggu laporan penuh bedah siasat daripada Hospital Queen Elizabeth untuk melengkapkan siasatan polis.

Abdul Rahman berkata setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Mangsa yang sedang menuntut di Universiti Xiamen, China itu dipercayai bersama rakan-rakannya sedang menunggu matahari terbit di puncak gunung tertinggi di Malaysia itu dalam kejadian pukul 6 pagi itu.

Semalam operasi mengeluarkan mayat dilakukan pihak Taman-Taman Sabah sebaik laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau pada kira-kira pukul 7 pagi.

Gunung Kinabalu merupakan gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara. - Bernama

No comments:

Post a Comment