Wednesday 12 February 2014

Anwar gagal lagi ketepikan Shafee


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini menolak permohonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan kes liwat yang dihadapinya.

Panel lima anggota yang diketuai Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin memutuskan perkara berkenaan atas alasan akuan bersumpah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (JSJKL) Datuk Mat Zain Ibrahim merupakan keterangan yang tidak dapat dibuktikan.

Hakim-hakim lain mendengar rayuan itu adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Richard Malanjum, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar, Zaleha Zahari dan Jeffrey Tan Kok Wha.

Cubaan kali kedua untuk menyingkirkan Muhammad Shafee dilakukan oleh Anwar setelah usaha kali pertamanya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September 2013 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 21 November tahun sama.

Permohonan pertama Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee adalah berdasarkan kelayakan pelantikan beliau dan atas alasan wujud percanggahan kepentingan kerana peguam terkenal itu dikatakan menjadi saksi penting dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar.

Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan tersebut setelah Hakim mahkamah Tinggi, Datuk Zabidin Mohd. Diah membebaskan beliau pada 10 Januari 2012 dengan alasan tiada bukti kukuh dapat dibuktikan pihak pendakwa.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment