Tuesday 11 February 2014

Biar FAM, polis siasat

Zulkurnain
Zulkurnain

KERAJAAN negeri berharap semua pihak menyerahkan sepenuhnya siasatan dijalankan oleh pihak berwajib berhubung insiden yang berlaku antara pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, tindakan angkat sumpah tidak perlu dilakukan untuk mendapat kebenaran situasi sebenar sebaliknya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak berwajib menjalankan siasatan.

“Tidak perlu angkat sumpah kerana kita khuatir pada satu masa esok dalam setiap keputusan pengadil pun perlu angkat sumpah.

“Keputusan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) memberikan kemenangan kepada JDT adalah adil, kerana sudah termaktub bahawa jika ada pasukan yang tidak meneruskan perlawanan maka kemenangan 3-0 diberikan kepada pasukan lawan.

“Mengenai insiden yang timbul kita tunggu siasatan polis, kita perlu yakin dengan siasatan pihak berkuasa dan keputusan yang diambil tidak bias kepada mana-mana pasukan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif dan Hadiah Kemenangan Atlit dan Pegawai di Temasya Sukan Sea dan Para Asean 2013 di Kota Iskandar di sini, semalam.

Zulkurnain turut menasihatkan penyokong supaya tidak terus memperbesarkan insiden yang berlaku bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin tegang antara kedua-dua pihak.

Beliau menegaskan, penyokong perlu menjaga tingkah laku masing-masing dan tidak bersikap terlalu fanatik sehingga menyebabkan kesopanan dan peradaban mereka terjejas.

“Saya tidak setuju jika penyokong terlalu fanatik hingga akhirnya menghilangkan kesopanan kita, penyokong perlu jaga nama baik negeri dan menjadi contoh kepada penyokong negeri lain.

“Kita khuatir sukan dijadikan tempat untuk bergaduh, akhirnya hasrat untuk melahirkan rakyat yang berbudi melalui aktiviti kesukanan akan hilang,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment