Tuesday 11 February 2014

Keracunan makanan: Teresa Kok tidak mempunyai laporan perubatan


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim, yang menyaman bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan tiga pihak lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa beliau tidak mempunyai laporan perubatan untuk menunjukkan beliau mengalami keracunan makanan semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kok berkata beliau juga tidak mempunyai laporan perubatan mengenai tekanan mental dan keadaan fizikalnya apabila ditahan oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia dari 12 hingga 19 Sept, 2008.

Ketika disoal oleh Peguam Kanan Persekutuan Lailawati Ali semasa pemeriksaan balas sama ada beliau mengadu tentang kesakitan apabila diperiksa oleh doktor yang bertugas, Kok berkata: "Tidak."

Bagaimanapun, Kok berkata beliau tidak bersetuju dengan Lailawati bahawa beliau tidak berhak untuk membuat tuntutan ganti rugi.

Pada 13 Mac, 2009, Kok mengemukakan saman terhadap Syed Hamid Albar, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia.

Kok menuntut ganti rugi kerana penangkapan dan penahanan secara salah, kesakitan dan penderitaan, dan tekanan mental, ganti rugi am dan khas dan relif lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Semasa prosiding, Kok juga berkata semasa ditahan, polis tidak menyediakan bantal dan tilam pada hari pertama dan menyediakannya hanya apabila beliau membuat aduan.

Sementara itu, Kok dalam kenyataan saksinya berkata beliau dikurung seorang diri tanpa bicara dan tuduhan.

"Saya dikurung dalam keadaan tanpa perikemanusiaan. Saya dinafikan hak di bawah perlembagaan dan tidak dibenar berhubung dengan peguam dan anggota keluarga saya.

"Saya disoal oleh pegawai-pegawai penyiasat dan soalan yang ditanya tertumpu pada dua artikel yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, bertajuk 'Azan, JAWI, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya dan 'Ada Usaha Larang Azan di Masjid-masjid Selangor," katanya.

Kok berkata beliau ditangkap oleh defendan-defendan di pintu masuk kediamannya di Pearl Tower, OUG Heights, pada 11.15 malam, 12 Sept 2008.

Katanya pada pukul 2 pagi 13 Sept di balai polis Wangsa Maju, beliau dimaklumkan bahawa beliau ditahan di bawah seksyen 73(1) ISA kerana mengambil bahagian dalam aktiviti yang boleh mencetuskan ketegangan dan rusuhan kaum.

Terdahulu, Hakim Datuk Su Geok Yiam, menolak permohonan Lailawati untuk tidak membenarkan peguam S.N.Nair mewakili Kok.

Dalam penghakimannya, hakim berkata Nair bukan seorang saksi berkaitan untuk dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan.

Lailawati berhujah bahawa Nair adalah orang yang membuat laporan polis apabila Kok ditahan.

Perbicaraan bersambung 12 Mei. - Bernama

No comments:

Post a Comment