Tuesday 11 February 2014

Harga 24 barang keperluan harian terpilih berbeza di 881 premis


KUALA LUMPUR: Harga barang keperluan harian bagi 24 barangan terpilih berbeza di 881 premis di seluruh negara berdasarkan pemantauan 'Price Watch' yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurut kenyataan kementerian tersebut pada Isnin, barang keperluan itu merangkumi barang basah dan kering seperti buah-buahan, ikan dalam tin (sardin), cili kering leper (tidak bertangkai), ikan bilis, mee kuning, marjerin, sos cili, milo, serbuk kopi, serbuk teh dan serbuk kari ikan.

Buah betik di Perak berharga RM2.10 sekilogram berbanding RM3.60 sekilogram di Terengganu. Buah tembikai merah tanpa biji dijual RM2 sekilogram di Kelantan dan Melaka manakala di Pahang RM3.30 sekilogram.

Harga nanas di Sabah adalah RM4.10 sebiji berbanding RM2.50 sebiji di Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.

Bagi ikan dalam tin (sardin) pula dijual pada harga RM6.40 bagi 425 gram di Sabah berbanding RM7.10 di Putrajaya. Harga ikan bilis Gred B (saiz sederhana) adalah RM16.70 sekilogram di Perlis dan Kelantan manakala di Labuan RM26.50 sekilogram.

Cili kering leper (tidak bertangkai) pula berharga RM1 bagi 100 gram di Perlis dan Melaka manakala RM1.30 di Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak. Di Sabah cili kering ini dijual pada harga RM3.30 bagi 100 gram.

Harga mee kuning bagi 500 gram dijual RM1.10 di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Kelantan berbanding RM2.20 di Johor.

Marjerin bagi 480 gram pula dijual pada harga RM7.80 di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak berbanding RM8.40 di Putrajaya.

Harga sos cili bagi 500 gram pula dijual pada harga RM3.30 di Perlis, Selangor, Melaka dan Terengganu berbanding RM3.50 di Kedah, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan dan Labuan.

Milo paket pula dijual pada harga RM17.70 sekilogram di Perlis, Johor dan Terengganu manakala di Kedah, Selangor dan Kelantan berharga RM17.60 sekilogram.

Selain itu, serbuk teh bagi 500 gram pula dijual pada harga RM9.70 di Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan manakala di Perlis, Pulau Pinang dan Johor pula berharga RM9.50.

Harga serbuk kopi bagi 200 gram adalah RM4 di Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu berbanding RM5.20 di Labuan.

Serbuk kari ikan (paket) bagi 250 gram pula dijual pada harga RM3.40 di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka berbanding RM3.90 di Labuan dan Sabah.

Menurut kenyataan itu, senarai harga barang berkenaan merupakan sumber rujukan kepada pengguna berdasarkan populariti barangan keperluan harian.

KPDNKK sedang mengambil pelbagai pendekatan dalam usaha menangani isu peningkatan kos sara hidup pada masa ini yang merupakan isu nasional dan perlu diatasi dengan baik.

Antaranya adalah dengan memaparkan senarai harga barangan yang boleh dijadikan panduan kepada orang ramai untuk berbelanja.

Untuk maklumat lanjut berhubung senarai harga barangan keperluan, orang ramai boleh melayari laman web www.1pengguna.com untuk paparan 105 harga barangan harian.

Bernama

No comments:

Post a Comment