Tuesday 11 February 2014

Taib menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Sabtu ini

Ketua Menteri Sarawak Tan ri Abdul Taib Mahmud menerima pingat kehormat daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) sempena sambutan Hari Ulangtahun RELA ke-42 peringkat negeri Sarawak. -- fotoBERNAMA


KUCHING: Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Sabtu ini untuk menyampaikan hasratnya meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Katanya beliau perlu mengikut protokol untuk meneruskan perancangannya melepaskan jawatan itu yang telah dipegangnya selama 33 tahun.

"Tidak perlu tergesa-gesa. Saya berasa tidak sabar untuk melakukan sesuatu yang berfaedah kepada negara secara santai (selepas bersara sebagai ketua menteri)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Rela peringkat negeri di sini pada Isnin.

Semalam, beliau berkata menghadap Yang Dipertua Negeri adalah antara "beberapa lagi langkah" yang beliau perlu lakukan sebelum bersara secara rasminya.

"Saya perlu lakukan semuanya mengikut susunan yang betul," kata Taib, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Ketika ditanya semalam sama ada beliau akan meletak jawatan pada akhir bulan ini, Taib secara berseloroh menjawab: "Yeah...saya fikir begitu...supaya saya dapat gaji penuh (saya) bagi Februari."

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita, mesyuarat tertutup yang diadakan di pejabat Taib hari ini tidak membincangkan secara spesifik mengenai persiapan dari segi keselamatan bagi kemungkinan pilihan raya negeri lebih awal di Sarawak.

"Ia bagi membincangkan soal keselamatan secara am di Sarawak, dan mesyuarat ini telah dirancang lebih awal sebelum tersebar spekulasi (mengenai Taib bakal bersara)," katanya.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata "senario politik secara umum" di Sarawak ada dibincangkan pada mesyuarat itu.

Bernama

No comments:

Post a Comment