Saturday 18 January 2014

Seorang maut, dua hilang ketika mandi di Teluk Bah

GEORGETOWN - Seorang wanita maut manakala dua lelaki hilang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak kuat ketika mandi di Pantai Kerachut, Teluk Bahang di sini hari ini.

Mangsa yang lemas dikenali sebagai P.Yogambigai, 24, manakala dua lelaki yang belum ditemui ialah Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim, 19, dan Ashwanpaljit Singh Charnjit Singh, 22.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Mohd Hatta Mohd Zain berkata ketiga-tiga mereka adalah antara 24 pekerja sebuah syarikat di Prai yang menyertai kem bina diri di Taman Negara Teluk Bahang.

Dalam kejadian pada pukul 4.17 petang itu, lima orang dihanyut ombak kuat tetapi dua daripada mereka yang merupakan pekerja wanita berjaya diselamatkan orang awam dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat yang dilancar petang ini melibatkan 30 anggota terdiri daripada pasukan Polis Marin Wilayah Utara, Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Operasi mencari dan menyelamat bagaimanapun terpaksa dihentikan pada pukul 7.45 malam berikutan hari gelap dan dijangka disambung pada 7.30 pagi esok bergantung kepada keadaan angin dan laut.

Sementara itu, seorang peserta kem Nazirul Waziri, 23, berkata selepas kem sehari yang bermula 9 pagi ini berakhir, mereka mengambil kesempatan untuk mandi manda di pantai itu sebelum pulang.

"Tiba-tiba seorang peserta terjun dari batu besar sebelum diikuti empat yang lain dan mereka dihanyutkan ombak kuat. Kami hanya sempat tarik tiga orang tetapi seorang telah meninggal dunia manakala dua lagi terus hilang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Aznam Ashraf berkata faktor laut bergelora sehingga ombak mencecah ketinggian 2.5 meter menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata keadaan dasar laut yang mempunyai banyak batu turut menyebabkan bot sukar mendekati kawasan sekitar pesisir pantai.

"Kami terpaksa hentikan operasi malam ini dan akan menempatkan 13 anggota sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan serta memantau kawasan pantai dari darat," katanya.

Aznam berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana bendera merah yang menandakan kawasan itu tidak selamat untuk aktiviti mandi manda telah dinaikkan.

"Keadaan ombak hari ini agak bergelora dan tidak selamat untuk aktiviti air dan bendera merah itu dapat dilihat dengan jelas dari daratan," katanya.

- Bernama, Januari 18, 2014

No comments:

Post a Comment