Saturday 18 January 2014

Penyamun lap darah sendiri

Penyamun lap darah sendiri
Mat Daud (dua, kiri) bersama anggota polis menunjukkan senjata yang ditemui pada kedua-dua suspek.


BALING - “Selepas suspek bergelut dengan saya, dia lap darah dia sendiri di atas lantai. Tangan dia berdarah terkena serpihan cermin selepas memecah masuk ke rumah saya,” kata Lim Kian Tong, 52, mangsa samun bersenjata di kediamannya di Bangunan Kedai Pekan Baling kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Ketika kejadian, hanya mangsa dan isterinya, Cheah Kowang Heng berada di rumah yang juga merupakan premis perniagaan jahitan baju.

Lim berkata, dia terjaga dari tidur selepas isterinya menjerit ternampak kelibat manusia di luar rumahnya.

“Selepas itu, dua lelaki terus pecahkan cermin tingkap dan masuk dalam rumah. Saya arahkan isteri masuk dalam bilik dan saya cuba untuk halang dua lelaki terbabit,” katanya

Menurutnya, dia bergelut dengan perompak terbabit hampir 10 minit mengakibatkannya cedera di bahagian bahu terkena parang yang digunakan suspek.

“Tak lama kemudian, salah seorang suspek pecahkan pintu bilik dan mengacukan parang ke isteri saya. Saya tak boleh buat apa-apa, hanya serahkan apa yang mereka inginkan.

“Selepas itu, salah seorang lelaki itu bertindak mengelap darahnya di atas lantai rumah. Darah dia banyak sebab tangan dia luka kerana cermin tingkap. Mungkin dia takut ada kesan darahnya dalam rumah ini,” katanya.

Kejadian itu juga mengakibatkan isterinya cedera di muka dan badan setelah ditumbuk oleh seorang suspek terbabit.

Katanya, selepas menyerahkan wang tunai, kedua suspek terus beredar dan pada masa sama anggota polis ada di bawah bangunan kedai itu.

“Mujurlah ada anggota polis yang membuat rondaan, kalau tidak, memang suspek dapat larikan diri dengan kawan mereka,” katanya.

Mangsa kemudiannya terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.


Suspek ada enam rekod jenayah lampau

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, salah seorang suspek samun bersenjata awal pagi semalam mempunyai enam rekod jenayah lampau.

Mat Daud berkata, kedua suspek berjaya ditahan polis berusia 38 dan 23 tahun dipercayai aktif melakukan aktiviti samun di sekitar Kuala Muda, Sungai Petani, Kulim serta Baling.

Menurutnya, kedua suspek ditahan ketika ingin melarikan diri bersama seorang lagi rakan mereka yang sedang menunggu di bawah Bangunan Kedai Pekan Baling itu.

"Sejurus mendapat maklumat, anggota polis diketuai Ketua Polis Balai, Inspektor Mohamad Hamdan Ghazali bergegas ke tempat kejadian.

“Kedua suspek tidak berjaya melarikan diri setelah dihalang anggota polis yang berada di kawasan itu.

“Manakala seorang lagi rakan mangsa yang sedang menunggu suspek terus melarikan diri menggunakan kereta,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Baling, semalam.

Katanya, polis berjaya menemui sebilah parang, pedang, kuku kambing, pemutar skru, empat telefon bimbit dan wang tunai RM821.

Menurutnya, suspek pertama berusia 38 tahun itu yang berasal dari Sungai Petani mempunyai enam rekod jenayah lampau manakala rakannya yang berusia 23 tahun berasal dari Alor Setar tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

“Suspek berusia 38 tahun itu pernah ditahan di Pusat Tahanan Machang, Kelantan sebanyak tiga kali mengikut Ordinan Darurat dan pernah ditahan sebanyak dua kali mengikut Kediaman Terhad di Ulu Yam, Selangor,” katanya.

Mat Daud berkata, penahanan kedua suspek terbabit juga dipercayai dapat menyelesaikan beberapa kes samun sekitar kawasan Sungai Petani, Kulim, Alor Setar dan Baling.

Kedua suspek kini ditahan reman selama seminggu dan kes akan disiasat mengikut seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Seorang lagi rakan mereka melarikan diri kini diburu polis dan pihaknya yakin akan dapat menahan lelaki terbabit dalam masa terdekat ini.


Minta bantuan pakai walkie talkie

Dalam pada itu, Kowamg Heng sempat menggunakan walkie talkie meminta bantuan semasa sedang sembunyi di dalam bilik.

Menurutnya, dia sempat menekan butang walkie itu dan menjerit meminta bantuan sebelum biliknya itu dipecahkan seorang suspek yang mengetahui mangsa sedang membuat panggilan menggunakan alat itu.

“Suspek kemudiannya menumbuk dan menendang badan saya,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Persatuan Prihatin dan Keselamatan Sukarela (PPKS) Baling berkata, dia terkejut kerana terdengar jeritan menerusi walkie talkie itu.

Menurutnya, dia kemudiannya menyemak semua kod panggilan itu untuk mengetahui kedudukan panggilan seterusnya memaklumkan kepada anggota polis.

“Mujur kami sedang membuat rondaan malam. Bila dengar suara kecemasan, saya terus minta bantuan polis,” katanya.

PPKS merupakan sebuah pertubuhan berdaftar di Baling dan menjadikan walkie talkie sebagai alat perhuhungan terutama melibatkan kecemasan.

No comments:

Post a Comment