Saturday 18 January 2014

Gadis dihanyut ombak ditemui mati lemas

PASIR PUTEH - Sorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dihanyut ombak besar ketika mandi bersama rakan di pantai Air Tawar, Kuala Tok Bali di sini, petang semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Mohd Kamal Zainal berkata, mayat Norfarahani Yusoff, 19, dijumpai 12.15 tengah hari ini, kira-kira 100 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

"Mayatnya timbul dua kali iaitu pukul 10 dan 11 pagi tetapi pihak kami (pasukan mencari dan menyelamat) tidak sempat mengambilnya ketika itu kerana hilang dibawa arus dan ombak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam, tiga rakan Norfarahani terselamat apabila sempat berenang ke tepi pantai manakala seorang lagi diselamatkan penduduk.

Mohd Kamal berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa Norwati Yusof, 44, ketika ditemui berkata, beliau mengetahui kejadian berlaku pada anak keduanya daripada lapan beradik itu pada 4.30 petang menerusi panggilan telefon oleh seorang rakannya.

"Norfarahani hanya memberitahu saya beliau akan ke rumah kawan ketika turun dari rumah pukul 2.30 pada hari kejadian," katanya yang juga seorang ibu tunggal.

"Ketiadaannya merupakan kehilangan besar bagi saya kerana beliau (Norfarahani) membantu menoreh getah bagi menyara empat orang adiknya berumur antara tiga dan lapan tahun," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment