Saturday 18 January 2014

Isu sumbat kangkung: Tindakan kurang ajar

Isu sumbat kangkung: Tindakan kurang ajar
Timbalan Speaker Dun Perak, Datuk Nasarudin Hashim (tiga, kiri) bersama Mohd Khusairi (empat, kanan) menunjukkan gambar Khai Loon menyumbat kangkung ke dalam replika muka Najib dalam satu demonstrasi kenaikan harga barang.


Umno Perak menyifatkan tindakan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon menyumbat sayur kangkung ke dalam mulut replika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini sebagai budaya liar.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, perbuatan itu tidak boleh diterima, walau apa juga alasan digunakan pihak terbabit untuk mewajarkan tindakan mereka.

Menurutnya, tindakan wakil rakyat pembangkang itu jelas mencerminkan budaya tidak sihat kepada rakyat selain menggambarkan tahap pemikiran Khai Loon sebagai seorang ahli politik yang tidak bertamadun dan kebudak-budakan.

“Jelas tindakan beliau menyumbat kangkung ke dalam replika menyerupai Najib begitu biadab yang jelas menunjukkan pembangkang di negara ini tidak menghormati demokrasi.

“Sekalipun tidak suka dengan pemimpin, mereka tidak harus melepaskan rasa geram dengan menghina pemimpin dan memperlekeh pemimpin dipilih rakyat,” katanya pada sidang media di Bangunan Umno, semalam.

Khai Loon dalam satu demonstrasi kecil Khamis lalu, membawa gambar besar replika Najib dengan mulut ternganga yang disumbat dengan 10 kilogram kangkung sebagai simbol bantahan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup kerana dasar-dasar kerajaan.

“Tindakan mereka terlalu melampau dan dengan bahasa paling mudah ialah orang tidak beradab. Jika kita tidak menghormati seseorang, jangan bercakap soal demokrasi kerana Najib dipilih oleh rakyat pada pilihan raya lalu dan semua pihak harus menghormati keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata, isu kangkung dijadikan bahan politik untuk mengaburi permasalahan pentadbiran pembangkang seperti isu hutan di Gua Musang yang diterokai hingga menindas penduduk Orang Asli di sana serta isu penutupan Pusat Giat Mara di Selangor.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment