Saturday 18 January 2014

Pencarian gadis misteri dalam Muka Surat Cinta

Mikail Andre
Mikail Andre

SELEPAS kali terakhir muncul dengan filem romantik, Cerita Kita, tahun lalu, pelakon dan juga pengarah terkenal, Pierre Andre sekali lagi mempertaruhkan filem bergenre romantik, Muka Surat Cinta.

Menarik kali ini, tiada lagi adegan cinta tiga segi sebaliknya, Pierre menggarap sebuah cerita yang meninggalkan mesej berguna kepada semua.

Filem yang sudah menemui penonton semenjak kelmarin, mengisahkan pencarian cinta seorang penulis novel terlaris, Putra lakonan Mikail Andre yang bersikap dingin dengan isterinya, Luna (Nina Iskandar) kerana mereka berkahwin secara paksa atas kehendak keluarga.

Putra menjadi keliru dengan perasaannya sepanjang perkahwinan bersama Luna sehinggalah dia mendapat ‘petunjuk’ dari novel berjudul Mencari Cinta yang dibacanya dan menjadikan Putra tertarik pada coretan dalam setiap muka surat.

Berminat untuk mengenali ‘siapa’ wanita yang pernah menuliskan ungkapan yang cukup bermakna itu membuatkan Putra berusaha habis-habisan menjejaki si gadis empunya diri.

Justeru, mampukah Putra menemui gadis impian hatinya yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Nur Di Alam Maya’. Bahkan, bagaimana pula dengan ikatan perkahwinannya bersama Luna?

Filem ini juga buat julung kalinya menampilkan gabungan pelakon muda dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Mempertaruhkan barisan muka-muka baharu, filem ini diterajui oleh Mikael bersama Nina dan turut dijayakan oleh Atikah Suhaime, Azwan Kombos, Hilal Azman dan Afiera Riana.

Menurut Pierre, Muka Surat Cinta merupakan sebuah lagi karya eksperimennya dan sebelum ini ia diberi judul Perempuan Muka Surat Tujuh.

"Saya sedia maklum, ramai yang mengenali saya menerusi filem bergenre seram. Justeru saya berusaha sebaik mungkin untuk mengetengahkan karya cinta walaupun ia sebuah cabaran yang besar buat saya," katanya.

Mikail penyelamat

Meletakkan muka baru bererti ia memberi cabaran yang besar buat setiap pelakon mengemudi jalan cerita agar dapat menarik perhatian penonton.

Apatah lagi, pelakon di Malaysia hari ini cenderung mempercayai filem-filem yang membariskan muka-muka lama atau pelakon yang dipercayai dan diminati.

Maka menjadi satu tanggungjawab besar untuk setiap pelakon melakukan yang terbaik agar lakonan mereka diingati dan sekali gus memberi kesan kepada penonton.

Pada pendapat penulis, Mikail selaku pelakon utama berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. Segala dialog dilontarkan dengan jelas, begitu juga dengan permainan emosi yang ditunjukkan bersesuaian dengan kecelaruan Putra.

Dia juga tidak terlalu dilihat mencuba menjiwai watak Putra, sebaliknya mengemudi watak tersebut dengan caranya yang tersendiri.

Begitu juga dengan lakonan Atikah. Biarpun hanya muncul dalam beberapa babak, namun lakonannya cukup bersahaja dan tidak mengikut skrip.

Berlainan pula dengan lakonan Nina dan Azwan yang dilihat agak kaku. Pada pandangan penulis, Nina selaku teraju utama sepatutnya lebih menonjol dari Atikah, menerusi lakonan namun sayangnya, dialog Nina terlalu mengikut skrip.

No comments:

Post a Comment